Rabu, 11 Oktober 2017

CINA MALAYSIA KALAH LAWAN CINA INDONESIA


Dr. Mohd Ridhuan Tee – MEMBACA tesis kedoktoran Aimee Dawis, warganegara Indonesia berbangsa Cina, bertajuk “Orang Indonesia Tionghua mencari identitas” begitu menarik perhatian saya. Orang Cina Indonesia sudah tidak lagi kelihatan seperti orang Cina seperti di Malaysia. Indonesia mengamalkan asimilasi secara paksaan bermula tahun 1965, apabila jatuhnya rejim komunis pimpinan Sukarno.
Suharto yang menggantikan Sukarno mengambil tindakan drastik memutuskan hubungan orang Cina Indonesia dengan negara asalnya secara kekerasan. Asimilasi dilaksanakan seratus peratus. Cara hidup orang Cina diubah sepenuhnya menjadi orang Indonesia termasuk dari segi nama, pakaian, bahasa, sambutan perayaan dan segala cara hidup yang lain. Rancangan televisyen, radio, filem, sekolah, makalah, perayaan kebesaran dan sebagainya yang ada berbau kecinaan diharamkan. Proses ‘pengIndonesiaan’ berlaku secara ekstrem. Tujuannya tidak lain, untuk membina sebuah negara bangsa. Hal ini tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku di Thailand dan Filipina, tetapi tidak seagresif Indonesia.
Hari ini, orang Cina Indonesia tidak lagi seperti orang Cina. Mereka tidak ada beza langsung dengan orang Indonesia dari cara hidupnya. Hatta, perkara-perkara kecil melibat istilah juga dijaga rapi. Orang Cina di sana tidak dipanggil orang Cina Indonesia tetapi dipanggil orang Indonesia Tionghua. Negara Indonesia didahulukan berbanding dengan bangsa.
Semua ini mengingatkan saya iklan 1Malaysia di kaca televisyen yang disiarkan saban hari. Antaranya berbunyi, “nama saya Saifuddin, saya orang Melayu, nama Pugalmani a/l Maniam, saya orang India, begitulah seterusnya seterus orang Cina, Iban dan sebagainya. Kenapa kita tidak dahulukan Malaysia seperti saya orang Malaysia Melayu, orang Malaysia Cina atau orang Malaysia India? Hari ini kita sibuk memperkatakan bangsa Malaysia. Tidakkah wajar perkara sebegini ini diteliti walaupun kelihatan ‘kecil’ oleh penerbit?
Saya lihat dari sudut lain, cara kita menamakan universiti sudah tepat iaitu Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan sebagainya. Kenapa kita tidak praktikkan istilah yang sama dalam konteks anak bangsa yang hidup bersama di sini?
Membandingkan Malaysia dan Indonesia, ternyata bukan Melayu di bumi bertuah ini cukup bernasib baik dan beruntung. Mereka masih boleh mengekalkan semua identiti mereka, tanpa diubahsuai dan langsung tidak diasimilasikan.
Semuanya mengingatkan saya kepada ceramah Profesor Rupert Brown daripada Univeriti Sussex, England baru-baru ini, mengenai dinamika akulturasi di negara lain, di kalangan minoriti atau imigran. Akulturasi bermaksud peminjaman budaya orang lain (majoriti) untuk diamalkan (minoriti) tetapi tidak kekal. Misalnya, bangsa minoriti meminjam budaya majoriti seperti pemakaian baju Melayu dan bersongkok oleh bukan Melayu. Sama juga, seperti orang Melayu memakai pakaian tradisi bukan Melayu dan sebagainya.
Persoalannya, adakah proses akulturasi sebegini berjalan dengan baik? Dari segi pemakanan, saya tidak menafikannya, seronok melihat rakyat Malaysia makan roti canai dan nasi lemak bersama-sama.
Pengalaman di negara lain menunjukkan akulturasi berjaya menyatupadukan rakyat. Berbanding dengan Malaysia. Kita masih lagi bertatih atau merangkak-rangkak. Ini kerana masih ada perasaan takut diasimilasikan.
Saya lihat orang Melayu lebih terbuka kepada proses akulturasi. Mereka tidak segan silu makan bersepit atau memakai pakaian bangsa lain. Sambutan Tahun Baru Cina akan menyaksikan segalanya bagaimana semangat 1Malaysia diraikan.
Tetapi saya jarang melihat bangsa lain mengakulturasikan budaya Melayu. Kalau adapun, hanya pada pemakaian baju kurung ketika majlis tertentu oleh kaum wanita. Lelaki bukan Melayu amat jarang sekali memakai baju Melayu penuh berbanding sekali sekala melihat orang putih memakainya. Bilakah agaknya kita dapat melihat keunikan akulturasi ini, meskipun asimilasi tidak dapat diterima lagi?

4 comments:

Tanpa Nama berkata... 11 Oktober 2017 4:09 PTG

Tetapi setiap kali indonesia menghadapi masalah besar, cina yang menjadi sasaran utama untuk di belasah. Bukan begitukah Riduan Tee? Nampaknya nampak Cina Malaysia lebih baik berbanding Cina Indonesia.

Tanpa Nama berkata... 11 Oktober 2017 7:45 PTG

Tak ada kerja lain untuk Riduan Tee. Di bayar oleh UMNO utk melagakan orang ramai dan memporak perandakan negara. Cam otak dia dah biul. Perlu ingat jadi Melayu pun tidak ada jaminan org tu baik atau jahat. Tak payah menjaja perkauaman. Tengok dulu keadaan dlm UMNO di mana yang penting adalah duit sampai negara sudah sampai ketahap 'telur di hujung tanduk'.

Tanpa Nama berkata... 11 Oktober 2017 8:02 PTG

suka atau tak suka, sekolah satu aliran dengan satu bahasa rasmi perlu dipraktikan...itulah harga yang perlu dibayar untuk capai perpaduan hakiki...berbilang bangsa serta berbilang agama bukan satu halangan sebenarnya, kerana rakyat malaysia tak kira apa bangsa sekalipun mempunyai nilai toleransi yang tinggi, hanya segelintir sahaja yang ada sikap ingin mewujudkan provokasi...dan sama ada kita suka atau pun tak, semua ini disebabkan kesilapan polisi pemimpin2 terdahulu yang takut untuk mewujudkan sekolah satu aliran dengan menggunakan satu bahasa rasmi....

Tanpa Nama berkata... 11 Oktober 2017 9:41 PTG

Satu pandangan yg wajar direnung bersama

Catat Ulasan