Sabtu, 14 Oktober 2017

AININA SAMAN RM7 JUTA PEMIMPIN PARTI PRIBUMI BERSATU, TERMASUK MUHYIDDIN DAN TUN M ?


Anina Saadudin, memaklumkan pihaknya telah memfailkan saman fitnah terhadap enam individu termasuk empat daripadanya merupakan pemimpin tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Langkawi.
Anina, melalui peguamnya, Tetuan Abdul & Yazmin telah memfailkan saman berkaitan fitnah yang dilontarkan terhadapnya mengenai dakwaan penerimaan wang sebanyak RM7 juta daripda UMNO di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.
Bagimanapun beliau enggan mendedahkan identiti keenam-enam individu tersebut sehingga penyerahan notis daripada pihak mahkamah terhadap mereka.
“Saya melalui barisan peguam saya, telah memfailkan suatu tindakan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam terhadap beberapa individu untuk membersihkan diri dan nama saya yang dituduh menerima wang sejumlah RM7 juta dari pihak UMNO,” katanya dalam sidang media di Bangi hari ini.
Antara faktor tindakan memfailkan saman itu dilakukan berikutan tiada sebarang tindakan diambil oleh kepimpinan tinggi PPBM berkenaan fitnah yang dilontar terhadapnya, memandangkan beliau juga antara pemimpin tinggi dalam parti sebelum ini, meskipun sudah membuat aduan ke Jawatan kuasa Disiplin PPBM pada awal Ogos lepas.
Sementara itu, Anina memaklumkan beliau telah membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan wang sogokan RM7 juta itu.
Namun, fitnah berterusan yang dimainkan di laman-laman media sosial secara terbuka oleh individu-individu tersebut, mendorong Anina untuk mengambil tindakan undang-undang.
Sementara itu, Anina turut mempersoal kredibiliti pemimpin tinggi PPBM yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung pendedahan awal ketua sayapnya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkenaan ‘Rangkaian Dedak Terancang’ dalam sidang media terdahulu.
“Syed Saddiq dengan sedih dan sebak menyatakan beliau sudah mengetahui perancangan ‘Rangkaian Dedak Terancang’ sejak Disember 2016 lagi.
“Malah katanya lagi, ini turut diketahui pimpinan tertinggi PPBM. Peliknya jika mereka mengetahui semua perancangan ini kenapa tidak bertindak lebih awal?
“Kenapa tidak didedahkan dan diambil tindakan? Saya difitnah mendapat RM7 juta bermula Jun 2017. Kenapa perancangan ‘Rangkaian Dedak Terangkai’ yang kononnya diketahui sejak Disember 2016 hanya didedahkan baru-baru ini?” kata Anina.
Anina, yang juga bekas Ketua Srikandi PPBM menyifatkan sidang media Syed Saddiq pada 2 Oktober lalu menjurus untuk menutup kelemahan parti itu sendiri dengan membuat dakwaan habuan RM7 juta tersebut.
Syed Saddiq pada sidang medianya awal bulan ini mendakwa wujudnya rangkaian dedak yang sistematik sedang digunakan untuk mempengaruhi pemimpin kanan keluar meninggalkan parti.
Beliau juga mendedahkan tiga pengasas PPBM yang telah keluar parti sebelum ini iaitu Kamarulazman Habibur Rahman, Datuk Hamidah Osman dan Anina adalah individu yang didakwa turut menerima habuan berkenaan.
Syed Saddiq mendakwa beliau juga ditawarkan RM5 juta untuk mengadakan sidang media mengumumkan beliau akan meninggalkan negara dan memburukkan parti dan pimpinannya.
Ketua Armada PPBM itu mendakwa wang tersebut ditawarkan dengan syarat beliau menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir – bertujuan bagi menggambarkan pemimpin parti hanya memikirkan perjuangan peribadi.
“Saya percaya sehingga ke hari ini Syed Saddiq mahu pun mana-mana pimpinan PPBM masih belum membuat laporan kepada SPRM tentang dakwaan berkaitan usaha yang disebut ‘Rangkaian Dedak Terancang’ itu.”

1 comments:

Tanpa Nama berkata... 14 Oktober 2017 11:50 PG

Kenapa nak buat lapuran kpd SPRM sedangkan agensi ini ikut perintah kepimpinan UMNO. Sesiapa yg lawan Najib jadi tumpuan SPRM. Tak ada kredibiliti langsung. Sistem pengasingkan kuasa di Malaysia dah lumpuh.

Catat Ulasan