Khamis, 12 Januari 2017

DS NAJIB DAN DS HADI AWANG SEIRINGAN UCAP TAKZIAH

Najib Ucap Takziah Pemergian Adenan, Sifatkan Malaysia Kehilangan Pemimpin Berwibawa

Image result for NAJIB ADENAN SATEM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, kira-kira 1.20 tengah hari ini.

Najib dalam catatan terbaharu di laman Twitter rasmi beliau, menyifatkan dengan pemergian Adenan,72, Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tan Sri Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah.

"Jasa Allahyarham kpd Sarawak amat besar, Malaysia kehilangan seorang pemimpin berwibawa. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata Perdana Menteri.

Perdana menteri juga berkata beliau akan ke Sarawak bagi menziarahi jenazah Allahyarham.


Foto Presiden PAS kunjungi Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 14 Januari 2015. 

Perutusan Takziah Presiden PAS Atas Pemergian Tan Sri Haji Adenan bin Satem

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Haji Adenan bin Satem hari ini. Saya mendoakan kepada seluruh ahli keluarga Almarhum semoga diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi kehilangan orang yang tersayang. Saya juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Sarawak di atas kehilangan seorang Ketua Menteri yang sangat disenangi oleh segenap lapisan rakyat Sarawak.

Almarhum menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam memperjuangkan nasib rakyat dan Negeri Sarawak semenjak mula menerajui pemerintahan negeri pada Mac 2014. Banyak perubahan positif yang telah dan sedang beliau usahakan dalam memajukan Negeri Sarawak.

Saya mendoakan semoga Almarhum diberikan keampunan oleh Allah SWT dan ditempatkan  bersama orang-orang yang soleh dan bertaqwa.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan” (Al-Ankabut: 57)

“Inilah Penyelesaian Kita”

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
12 Rabiul Akhir 1438 / 11 Januari 2017 

1 comments:

Tanpa Nama berkata... 12 Januari 2017 10:56 PG

Inilah sifat pemimpin-pemimpin yang terpuji. Kawan mau pun lawan bila dah sampai waktunya dijemput Allah swt bagi yang masih hidup berdoalah kebaikan untuk roh mereka.

Bukan sesetengah itu dalam berdoa diselit pula dengan sindiran.

Catat Ulasan