Selasa, 22 April 2014

#tolakgst: BILA TAK TAHU GST, SALAHKAN KERAJAAN !


Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan mula diperkenalkan mulai 1 April 2015 berdasarkan pembentangan bajet 2014 oleh YAB Perdana Menteri. Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telah diluluskan Dewan Rakyat pada 7 April lalu. Sebelum itu Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 pun telah diluluskan Dewan Rakyat.

Ramai yang dikelirukan dengan fitnah dan tohmahan pihak yang tidak faham lagi tidak bertanggungjawab mengenai GST kononnya GST adalah cukai baru yang akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak sekaligus mengakibatkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Tuduhan liar mengenai GST disebabkan apabila orang yang tak faham dan orang yang selalu buat perkara tak betul dalam perniagaan bersama-sama menentang perlaksanaan GST. Mereka dibantu pula oleh para politikus yang berkepentingan dan rasa terancam dengan pelbagai program ekonomi kerajaan.

Puak-puak ini lebih suka jika negara mundur dan rakyat hidup susah. Kerana disebalik kesusahan rakyat itulah mereka dapat cari pengaruh dan populariti. Kerana dengan cara menghasut dan membohongi rakyat mereka dapat sumber rezeki menjadi YB atau memegang apa-apa jawatan dalam NGO's.

Jadi apa yang baiknya GST ini?
  • Pengenalan GST sebagai instrumen cukai baru akan menyebabkan Akta-Akta seperti Cukai Jualan 1972 (Akta 64) dan Cukai Perkhidmatan 1975 ( Akta 151) yang dikuatkuasakan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selama ini dimansuhkan sama sekali mulai 1 April 2015.
  • Cukai Jualan 10% dan Cukai Perkhidmatan 6% dimansuhkan dan digantikan dengan GST 6% sahaja berkuatkuasa 1 April 2015.
  • Untuk mengelak penipuan dan manipulasi harga oleh golongan pengilang, pemborong, peruncit dan peniaga maka Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2010 akan dikuatkuasakan secara tegas. 
Cukai Jualan 10% wajib dibayar pada kerajaan. Untuk menampung kos hasil bayaran cukai tersebut maka pihak pengimport atau pengilang menerapkan kos tersebut ke dalam harga barangan yang dikeluarkan. Barang yang dijual sudah tentu mahal sedikit bagi pihak pengilang menampung kembali kos cukai jualan yang mereka telah bayar pada kerajaan sebelumnya. Cukai jualan ini sebenarnya dibayar oleh para pengguna tanpa mereka sedari.

Begitu juga dengan Cukai Perkhidmatan 6% dikenakan ke atas pengguna di atas perkhidmatan dan layanan diberikan oleh premis-premis seperti hotel (yang lebih 25 bilik), outlet restoran, insuran, telekomunikasi, khidmat profesional akauntan, peguam, jurutera, arkitek, konsultan dan sebagainya. Cukai perkhidmatan ini jelas tertera dalam setiap resit atau bil yang boleh dilihat dan disedari pengguna atau pelanggan.

Hakikatnya, setiap rakyat Malaysia membayar cukai yang lebih tinggi (16%) dalam sistem sedia ada (Sales and Services Tax-SST). Kerajaan melihat sistem percukaian ini tidak adil, menekan rakyat dan terdedah kepada ketirisan, penyelewengan dan pelarian cukai-cukai yang sering dilakukan oleh golongan peniaga yang tidak jujur. Yang inilah amat ditakuti oleh peniaga-peniaga lintah darat, sering menipu akaun, pengamal money laundering yang selalu menekan rakyat menaikkan harga barang sesuka hati lepas tu salahkan kerajaan pulak.  


Apa kebaikan GST ?
  • GST berupaya mengelakkan masalah dua cukai bertindih iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Dengan GST hanya satu cukai sahaja dikenakan. Ini akan menjadikan harga barang lebih murah. Pengguna boleh buat perbandingan harga sebelum dan selepas GST. Jika ada peniaga yang tipu kita boleh dilaporkan pada pihak berkuasa untuk tindakan, komplen dalam media sosial dan boikot premis tersebut.   
  • Beberapa barangan asas pengguna langsung tak kena GST (0%). Ini termasuklah beras, gula, garam, tepung, minyak masak selain dari pembelian dan penyewaan rumah kediaman, jual beli tanah pertanian, pendidikan, pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan, kewangan, caj lebuh raya serta perkhidmatan awam.
Mana ada kerajaan tergesa-gesa laksanakan GST! Bahkan sejak tahun 1985 - 1997 lagi kerajaan telah mengkaji GST ini. Menteri Kewangan ketika itu; Tun Daim Zainuddin diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersetuju untuk melaksanakan GST.

Dalam Bajet 2005, kerajaan telah mengumumkan cadangan perlaksannan GST namun ia ditangguhkan dan sebuah Panel Penilai Cukai  (Tax Review Panel) ditubuhkan untuk mengkaji contoh perlaksanaan GST di luar negara, antaranya;
  • Goods and Services Tax 1985 (New Zealand) 
  • Value Added Tax 1994 (United Kingdom)
  • Goods and Services Tax 1991 (Canada)
  • Value Added Tax Act 1992 (Thailand)
Hasil kajian ini mendapati GST akan menjana ekonomi negara dengan meningkatkan nilai eksport sebanyak 0.5% disebabkan harga barangan eksport akan jadi kompetitif dan murah. Kadar keluaran negara kasar (KDNK) dijangka meningkat sekitar 0.3%.


Dengan GST juga pendapatan negara akan meningkat RM27 bilion setahun berbanding sekitar RM16-18 bilion sahaja ketika ini.  Hasil percukaian ini boleh disalurkan kembali oleh kerajaan melalui pelbagai projek pembangunan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, subsidi pendidikan, pertanian dan bahan makanan juga boleh ditambah. 

Malah kerajaan juga berjanji akan meningkatkan lagi pemberian BR1M kepada golongan sasar setiap tahun. Bahkan seiring dengan pengenalan GST, kerajaan juga akan memperuntukkan setiap golongan sasar bantuan BR1M tambahan RM300.00 yang akan diberikan secara one-off kepada penerima BR1M. 

Lebih menarik lagi, kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan di antara 1-3% lagi. Hasilnya pendapatan boleh guna individu akan meningkat dan dijangka seramai 300,000 orang tidak perlu lagi membayar cukai. Pendapatan dari pungutan cukai GST akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai bantuan sosial antaranya BR1M, biasiswa dan subsidi pendidikan, bantuan baja, subsidi makanan dan sebagainya. 

Kemiskinan akan dikurangkan dan kebajikan rakyat terus terjaga. Bukankah ini rahmat yang Allah Taala akan kurniakan jika kita cekap urus ekonomi? Jadi tang mana yang dikatakan GST itu akan membebankan rakyat dan mengkayakan kroni?       

Apa lagi kebaikan GST?;
  • GST mampu mendidik rakyat merancang dan mengawal perbelanjaan harian mereka. Dengan adanya insentif pengurangan cukai individu dan penambahan pendapatan, mereka boleh lebih banyak menabung. Yang jadi masalahnya apabila kita kurang menabung, membazir dan berbelanja tidak mengikut keperluan. 
  • Peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang mempunyai pendapatan atau hasil jualan tahunan kurang RM500,000 setahun dikecualikan daripada mendaftar sebagai syarikat berdaftar GST. Mereka tidak perlu mengutip dan membayar GST. Ini membolehkan mereka berdaya saing dengan syarikat-syarikat multinasional.
Negara kita dah nak capai status negara maju, jadi perlulah kita berubah dan mengikuti trend ekonomi semasa. Amat mustahil untuk sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab menganiaya rakyatnya dengan memperkenalkan GST. Sudah 29 tahun kita mengkaji GST dari pelbagai negara, maka kini kita telah bersedia melaksanakannya pada 1 April 2015 akan datang.

Kepada pihak pembangkang, jika kerajaan dituduh kononnya ada agenda tersembunyi memperkenalkan GST, maka apakah kalian tiada agenda tersembunyi menentang GST?  

Yang nak himpun ramai-ramai 1 Mei nanti menentang GST buat apa? Lebih baik pergi bercuti bersama keluarga mengeratkan silaturahim dari berhimpun terpekik terlolong dosa dapat, panas pun dapat. Ingatlah yang menghasut supaya berhimpun ramai-ramai tu pun golongan sosialis-komunis yang anti agama, anti ekonomi dan anti keamanan, maka wajarlah kita tolak golongan perosak ini.

Fahami GST, Cintai GST...Nikmat GST Dikongsi Bersama...Syukur pada Tuhan, Terima Kasih Pada Kerajaan.

11 comments:

Tanpa Nama berkata... 27 April 2014 10:01 PTG

Semua Negara EU dan juga USA yg PR agung2 sgt tu ada GST.

Tanpa Nama berkata... 7 Mac 2015 8:31 PTG

Knp bank nk kena caj klrkan duit

Tanpa Nama berkata... 13 Mac 2015 11:19 PTG

phui..tukar nama je.asas tetap sama

Tanpa Nama berkata... 14 Mac 2015 8:44 PG

Kalo gst makin bagus knp smua bnda naik cas? Ada fikir? Baguslah sgt!

Tanpa Nama berkata... 14 Mac 2015 4:36 PTG

Macammana pendapatan Negara blh meningkat dari 16-18bil ke 27bil setahun sedangkan cukai turun drp 16 ke 6%? Mintak pencerahan. T. Kasih

Tanpa Nama berkata... 14 Mac 2015 6:50 PTG

percent tax dari 16% turun ke 6% , tapi income negara naik dari 16 bilion ke 27 bilion?? acaner tu??

Tanpa Nama berkata... 14 Mac 2015 6:50 PTG

percent tax dari 16% turun ke 6% , tapi income negara naik dari 16 bilion ke 27 bilion?? acaner tu??

Tanpa Nama berkata... 14 Mac 2015 7:33 PTG

Bila nafsu melebihi dari agama..well done PM..

Tanpa Nama berkata... 14 Mac 2015 7:33 PTG

Bila nafsu melebihi dari agama..well done PM..

Tanpa Nama berkata... 1 April 2015 3:24 PTG

membayar semua nilai barangan dikenakan pula 6%cukai..
peniaga mngeluarkan kos cukai untuk beroperasi dimana kos itu tak boleh dituntut.
kos itu ditambah pada nilai barangan .
10 ringgt nk jadi brapa ringgit..hg jgn tamak sgt..

Tanpa Nama berkata... 5 April 2015 2:37 PTG

pemantauan lemah dan penguatkuasaan lemah...rakyat menderita

Catat Ulasan