Rabu, 6 Mac 2013

Update Lahad Datu : Tembak Menembak Berlaku Di Tiga Lokasi Tanjung Batu, Lahad Datu - KPN

Tembak Menembak Berlaku Di Tiga Lokasi Tanjung Batu, Lahad Datu - Ismail


KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah Rabu tatkala pasukan keselamatan meneruskan operasi susulan dan penggeledahan dalam Op Daulat.

Pasukan keselamatan negara mula membuat pemeriksaan di perkampungan itu pada pukul 3 petang untuk menjejaki musuh yang memasuki kawasan kampung berkenaan.

"Pada kira-kira 4.15 petang berlaku tembak menembak di tiga lokasi kampung itu dan kami percaya ada musuh yang gugur, tetapi waktu ini saya tidak dapat sahkan jumlah musuh yang terkena tembakan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan tiada yang dijadikan tawanan pihak musuh.

Selasa, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.

Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu.

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan kini memperluaskan kawasan operasi dan penggeledahan untuk mencari senjata api yang dipercayai ditanam di kawasan terbabit.

"Kami yakin masih ada saki baki pengganas di kawasan Kampung Tanduo," katanya.

Kedua-dua pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menghantar SMS kepada mereka memberi sokongan dan semangat serta diiringi doa untuk keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan dalam Op Daulat.

"Kami berdua ucap berbanyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan doa untuk meningkatkan semangat kami," katanya.

-- BERNAMA 
 
 

0 comments:

Catat Ulasan