Sabtu, 9 Mac 2013

Insiden Lahad Datu : Penganalisis Politik: Pencerobohan Sabah Cuba Wujudkan Keadaan Tidak Stabil Menjelang Pilihan Raya

Gambar dari Wikipedia

Penganalisis Politik: Pencerobohan Sabah Cuba Wujudkan Keadaan Tidak Stabil Menjelang Pilihan Raya

Oleh Noor Farhana Ahmad Norain dan Nurul Huda Che Das

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Beberapa penganalisis politik menganggap insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, sebagai cubaan mewujudkan keadaan tidak stabil di Malaysia di ambang pilihan raya umum diadakan.

Mereka berpendapat ada pihak tertentu yang menghangatkan semula isu tuntutan 'Kesultanan Sulu' ke atas Sabah walaupun ternyata ia telah berlaku lama dulu.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata insiden pencerobohan itu boleh mempengaruhi pola pengundian rakyat Malaysia.

Bercakap kepada Bernama, beliau yang mempersoal kewajaran isu tuntutan Sabah dibangkitkan semula, berpendapat rakyat Malaysia boleh membuat penilaian sendiri melalui usaha kerajaan menangani masalah itu.

"Mungkin ada pihak yang mahu lahirkan keadaan tidak menentu supaya rakyat melihat kerajaan berada dalam situasi yang tidak stabil. Pengundi harus menilai keberkesanan pendekatan yang dilakukan kerajaan sejak awal dalam usaha mengelak berlaku sebarang tragedi walaupun akhirnya pasukan keselamatan negara perlu dihantar ke lokasi tersebut," katanya ketika dihubungi.

Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula berpendapat pihak tidak bertanggungjawab itu mungkin mahu melaga-lagakan Malaysia dengan Filipina tetapi beralih kepada tuntutan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya 'Sultan Sulu' kerana dilihat sebagai isu yang 'lebih mudah dan lama'.

"Mereka mahu wujudkan keadaan tidak stabil terutama di kawasan sebelah Laut Sulu. Tapi kita tak tahu adakah ia akan menyebabkan pilihan raya dilambatkan. Dan kalau dilambatkan, adakah akan menguntungkan? Kita tidak pasti.

"Tapi ia boleh sebabkan rakyat Sabah melihat kerajaan benar-benar berusaha melindungi mereka," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah majlis di Kangar pada Ahad turut melahirkan rasa hairan dengan kehadiran kumpulan itu ke Sabah semasa negara sedang hampir untuk mengadakan pilihan raya umum sedangkan tuntutan 'Kesultanan Sulu' ke atas Sabah sudah lama dibuat.

Dalam pada itu, kedua-dua penganalisis politik itu juga sependapat pencerobohan di Lahad Datu mungkin juga bertujuan mencabar kewibawaan Najib sebagai perdana menteri terutama dalam menangani masalah berkenaan.

Menurut Zainal Abidin, sejak menjadi menteri besar Pahang pada 1982, Najib belum pernah diuji sama ada dari dalam atau luar parti Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Tetapi beliau sudah buktikan komitmen yang tinggi dalam hal-hal berkaitan pentadbiran...dengan transformasi ekonomi, turun padang dan sebagainya. Kita juga perlu tahu bahawa beliau ialah bekas menteri pertahanan yang faham isu-isu berkaitan," katanya.

Kedua-dua penganalisis itu juga sependapat krisis yang berlarutan kini jelas tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu kestabilan negara.

Sementara itu, tokoh sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mempunyai pendapat berbeza, iaitu mereka yang menggelar keturunan 'Kesultanan Sulu' itu menuntut Sabah kerana kemajuan dan kesejahteraan yang dikecapi negeri itu pada masa ini.


"Bahagian Sulu sudah lama mahu menubuhkan sebuah negara bebas, mereka pernah lawan dengan Sepanyol, Amerika Syarikat dan pemerintah Filipina.

"Kalau mereka boleh dapat Sabah, dengan kemajuan yang dikecapi Sabah sekarang, Sulu boleh jadi negara yang berjaya, itu tujuan sebenar mereka," katanya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan lambat bertindak menangani kumpulan penceroboh di Lahad Datu, Sivamurugan berkata: "Banyak perkara yang perlu diambil kira. Memang pasukan keselamatan mempunyai kelengkapan yang mencukupi tetapi ia suatu pendekatan untuk mengelak pertumpahan darah."

Zainal Abidin pula berkata 'kelewatan' itu bukan satu kelemahan, sebaliknya beliau memuji tindakan kerajaan mengadakan rundingan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah berkenaan sebelum melancarkan tindakan ofensif.

Pencerobohan di Lahad Datu bermula 12 Feb lepas dan memuncak pada Jumaat apabila dua anggota polis terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan itu, tiga hari selepas tamat tempoh pengusiran.

Enam lagi anggota polis terkorban dalam serang hendap pengganas di Semporna pada Sabtu, sebelum pasukan keselamatan melancarkan tindakan ofensif besar-besaran melalui udara dan darat ke atas kumpulan penceroboh itu pada Selasa. -- BERNAMA

1 comments:

Singa Malas berkata... 10 Mac 2013 11:48 PG

SAYA RASA AMAT TERHARU DENGAN KEMATIAN PARA WIRA NEGARA DI INSIDEN DI LAHAT DATU.PADA PANDANGAN SAYA PENCEROBOH TELAH MEMASUKI NEGERI SABAH LEBIH AWAL LAGI,TETAPI DI PERCAYAI ATAS KELEMAHAN PASUKAN RISIK NEGARA SEHINGGA GAGAL MENDAPAT MAKLUMAT..INI MENUNJUKKAN TENTANG KURANGNYA PERCAMPURAN MEREKA PADA ORANG AWAM SEHINGGA TIDAK MENDAPAT MAKLUMAT TERSEBUT.ANDA KATA ANGKATAN TENTERA NEGARA ASING YANG MASUK KE NEGARA INI SUDAH TENTU SABAH TELAH DI TAWANNYA.BAGI PENDUDUK SABAH SEGELINTIRNYA SEPERTI KACANG LUPAKAN KULIT TIDAK MAHU RASA BERSYUKUR APA YANG DI PEROLEHI DRP KERAJAAN YG MEMERINTAH.MEREKA ADA AKAL UNTUK BERFIKIR TETAPI MENBIARKAN AKALNYA DI KUASANYA OLEH NAFSU(SYAITAN) SEHINGGA TIDAK DAPAT MENILAIKAN YANG MANA BAIK DAN YANG MANA BURUK.MEREKA TIDAK MEMBUAT PERTIMBANGAN DENGAN KATA HATI YANG MANA KATA HATILAH YANG DAPAT MENGUASAI AKAL MANUSIA SERTA DAPAT MENILAIKAN YANG TERBAIK.APA YG MEREKA MAHU MENYOKONG PEMBANGKANG,MEREKA INI LEBIH MENGUNAKAN AKAL UNTUK MENIPU RAKYAT DEMI KEPENTINGAN MEREKA.APA YANG BOLEH MEREKA BUAT JIKA DPT MEMERINTAH???.SETELAH MENANG PRU DAPAT GAJI DAN ELAUN DUDUK DIAM DAN KITA YG MAMPUS.LIHAT SELANGOR APA DAH JADI.

Catat Ulasan