Rabu, 30 Januari 2013

Pecat Nasha : Tindakan PAS Sama Seperti Peristiwa Pembunuhan Hang Nadim.

Kerana 'kebijaksanaan' beliau seperti Hang Nadim, Nasharuddin juga menerima nasib yang sama (gambar dari http://shahnons.blogspot.com)
Akhirnya Pas mengambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa dengan menggugurkan beliau daripada keanggotaan Majlis Syura Ulama parti itu.

Keputusan itu sememangnya sudah dijangka dan tidak mengejutkan hanya persoalan mengapa Pas mengambil masa begitu lama untuk bertindak ke atas Ahli Parlimen Bachok itu.

Sejak Nasharuddin kalah kepada Mohamad Sabu untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semasa Muktamar Tahunan Pas ke 57 pada tahun 2011 dan sejak itu beliau telah banyak bermuhasabah diri mengenai isu perpaduan umat Melayu di negara ini.

Sikap Nasharuddin yang lunak dalam isu perpaduan dengan UMNO menjengkelkan malah menaikkan bulu kening pemimpin-pemimpin Pas terutamanya Murshidul Am, Nik Aziz Nik Mat.

Kepada Nik Aziz dan geng Anwarinas, Nasharruddin dilabel sebagai pengkhianat kerana berkawan dengan UMNO.

Malah heboh pada tahun 2009 isu kerajaan perpaduan yang dipelopori oleh kumpulan UG atau Unity Government yang mahukan kerjasama politik dengan UMNO demi kesatuan dan mengukuhkan posisi politik orang Melayu di Malaysia.

Nasharuddin adalah antara tokoh utama UG disamping Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tetapi malangnya Nik Aziz telah berjaya mempengaruhi pimpinan parti untuk menolah inisiatif UG.

Sejak itu Nasharuddin menggangap dirinya seperti melukut di tepi gantang, disisih oleh partinya sendiri.

Malah beliau sendiri sebagai Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Pas dikatakan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat ang diadakan.

Beliau sebaliknya menumpukan perhatian mengetuai sebuah badan swadaya yang dipanggil Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia.

Atas kapasiti itu Nasharuddin sering kelihatan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ini telah menaikkan darah Nik Aziz dan sekutu-sekutunya yang pro-Anwar atau Anwarinas.

Gambar beliau bersama Perdana Menteri di Mekah bertemu dengan ulama-ulama di kota suci itu telah menjadi heboh di kalangan ahli Pas.

Nik Aziz lebih sakit hati apabila melihat Nasharuddin menemani Datuk Seri Najib semasa lawatan sehari ke Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Mungkin itu menjadi 'the straw that breaks the camel's back' atau penyudah kepada perbuatan 'khianat' Nasharuddin terhadap partinya, lantas beliau dikeluarkan daripada badan tertinggi penentu dasar dan halatuju parti itu.

Nik Aziz juga berang dengan Nasharuddin yang sebelum ini menggesa Pas mengkaji semula kerjasama parti itu dengan PKR dan Dap dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga berlaga angin pendirian Pakatan Rakyat dan Pengerusi Dap Kebangsaan, Karpal Singh mengenai isu hudud.

Tindakan ke atas Nasharuddin didakwa berlawanan dengan semangat 'jemaah' tetapi hakikatnya Pas adalah sebuah parti yang jumud dengan aliran pemikiran yang beku dan kaku.

Parti itu berlagak seperti hero Islam malah nama agama dipakai pada nama parti tetapi sebenarnya kepentingan politik Nik Aziz yang diperjuangan, bukan parti, ahli mahupun umat Islam.

Pas iri hati dan cemburu apabila melihat pemimpinnya seperti Nasharuddin bersikap bebas dan tidak terikat dengan budaya parti yang menjadikan UMNO sebagai musuh tradisi untuk selama-lamanya.

Inilah pemikiran yang dibawa oleh Nik AZiz dan dipaksa ke atas pas menjadikan parti iaitu sebuah organisasi siyasah yang statik dan progresif.

Nasharuddin seorang pemimpin Pas yang berfikiran terbuka serta mempunyai pandangan jauh berkaitan perpaduan Islam.

Bagi beliau perbezaan peendekatan politik yang diambil oleh UMNO dan Pas tidak bermakna perpaduan tidak boleh dicapai melalui kaedah lain.

Inilah yyang dilakukan olehnya apabila sanggup bersama-sama Perdana Menteri demi agenda memartabatkan kepentingan Islam.

Jika Nik Aziz berfikiran terbuka dan berlapang dada, apa salahnya Nasharuddin berganding bahu bersama pemimpin kerajaan Barisan Nasional demi perjuangan rakyat Palestin?

Juga apa salahnya Nasharuddin menjadi perantara bagi Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan ulama-ulama tersohor Mekah?

Tetapi bagi Nik Aziz dan kuncu-kuncunya perbuatan Nasharuddin adalah antara dosa paling besar, malah kalau berdasarkan 'Amanat Haji Hadi, sudah tentu beliau boleh dijatuhkan hukum kafir!




0 comments:

Catat Ulasan