Berdasarkan rekod-rekod polis, Amanat Haji Hadi itu telah dipergunakan oleh PKM yang masih bergerak aktif sekitar 1960-an, 1970-an dan pertengahan 1980-an. PKM pada masa itu mengikuti setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat walaupun mereka tinggal di dalam hutan atau di sempadan negara jiran.
Mereka menyalahkan kerajaan di atas
segala isu yang membabitkan kepentingan rakyat. Mereka menggunakan apa
sahaja cara untuk mengkritik kerajaan seperti radio bawah tanah dan
penerbitan secara sulit. Dalam isu kafir mengkafir pun PKM bangkitkan,
tetapi ini bukan bermakna mereka sokong Pas. Mereka mengeksploitasi Pas
sebagai parti pembangkang untuk mendapatkan keuntungan politik.
Sejarah PKM menunjukkan walaupun pada
masa itu, ideologi komunisme tidak suka agama, PKM mengeksploitasinya.
Pada 12 April 1965, PKM menubuhkan Parti Persaudaraan Islam (PAPERI)
semacam satu subsidiarinya. Matlamat PAPERI adalah untuk memperluaskan
pengaruh komunis dalam kalangan masyarakat Melayu dengan menguar-uarkan
kononnya komunisme tidak bertentangan dengan Islam. Kononnya Islam dan
komunisme boleh tidur sebantal. PAPERI juga membuat kenyataan menyambut
fatwa dan hujah Pas yang mendakwa kerajaan tidak Islamik. PAPERI
diketuai oleh Abdullah CD yang juga ketua Rejimen Ke-10 PKM yang
berpangkalan di sempadan Kelantan-Thailand.
Bagi melemahkan kepercayaan orang
Melayu, PKM turut menyelewengkan dalil-dalil daripada al-Quran dan
Hadis. Perkara ini dilakukan dalam risalah bertarikh 28 Disember 1982
yang bertajuk ‘Bersatulah mengikut jejak Rasulullah melawan
ketidakadilan dan membela kepentingan rakyat’. Jika diperhatikan,
risalah itu dikeluarkan lebih setahun selepas Amanat Haji Hadi. Risalah
tersebut, antara lain, menyeru umat Islam di Malaysia supaya bangun
menentang kerajaan dan menyokong perjuangan bersenjata PKM untuk
keadilan, untuk rakyat dan untuk kemerdekaan penuh tanah air. Orang
Melayu telah diserang Pas dengan fatwa dan PKM pula semacam
mempergunakan fatwa itu.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna Abdul Hadi
bersetuju atau bersekongkol dengan posisi PKM itu.
Kemudian, PKM menubuhkan Parti
Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) pada 24 Mei 1981.
Perbuatan kafir mengkafir pada masa itu semakin hebat. Matlamat PKMRM
adalah menyatupadukan golongan-golongan sosialis, nasionalis, komunis
dan agama. Tindakan ini mirip langkah Presiden Indonesia, Sukarno, pada
awal 1960-an sebelum pemerintahannya berakhir pada 1965. Sukarno
memperkenalkan gagasan NASAKOM iaitu akronim bagi nasionalis, agama dan
komunis bagi menyatupadukan tenaga-tenaga progresif-revolusioner dan
tenaga-tenaga yang bersedia mengangkat senjata untuk mencapai sesuatu
kejayaan. Sukarno seorang nasionalis yang cenderung kepada fahaman
Marxisme dan NASAKOM ialah wadah politik Sukarno untuk menjayakan projek
Ganyang Malaysianya.







1 comments:
Amanat yang sangat bermanfaat banget.
Catat Ulasan