DATUK
Seri Panglima Lajim Ukin, Janang Gayuh kaum Bisaya di Beaufort, Sabah
dengan jelas telah menunjukkan haluan politiknya menjelang Pilihanraya
Umum Ke-13. Beliau tidak lagi akan berada dalam kapal Barisan Nasional
(BN), sebaliknya akan bersama Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang
ditubuhkannya.
Manakala seorang
lagi Ahli Parlimen yang meninggalkan BN, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing
turut menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang hampir pasti akan
bersekongkol dengan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Dato’ Seri Anwar
Ibrahim.
Itulah
politik Lajim sebenarnya. Bermula daripada 1985 ketika memenangi kerusi
DUN Klias, sehinggalah semalam ketika Ahli Parlimen Beaufort itu
mengumumkan perletakan jawatannya daripada beberapa posisi penting BN
dan UMNO, Lajim adalah tokoh politik Sabah yang tidak punya rasa setia
kepada parti politik yang dianggotainya.
Mengenali
Lajim sejak 1986 dan pernah menghasilkan buku autobiografinya ketika
saya di Sabah, beliau dilihat seorang ahli politik opportunis yang
sentiasa mengambil kesempatan yang menguntungkan dirinya sendiri, tanpa
menghiraukan kepentingan partinya.
Lajim
bertanding atas tiket PBS di DUN Klias pada 1985 setelah hasratnya
untuk menjadi calon parti Berjaya dipandang sepi oleh Datuk Harris
Salleh yang menjadi Presiden parti dan Ketua Menteri Sabah ketika itu.
Beliau menang dan kemudiannya menjadi anak emas kepada Presiden PBS,
Datuk Joseph Pairin Kitingan (kini Tan Sri).
Pairin mengangkat Lajim ke jawatan penting bermula daripada Pembantu Menteri hinggalah Menteri penuh dalam Kerajaan PBS. Sepanjang
di dalam Kerajaan PBS, Lajim bercita-cita besar untuk menjadi Timbalan
Ketua Menteri yang mewakili kuota Bumiputera-Islam, tetapi hasrat beliau
itu selalu dibayangi oleh seorang lagi anak emas Pairin, iaitu Datuk
Bahrom Abu Bakar Titingan, pemimpin suku kaum Suluk dari Tawau. Kaum
Suluk, yang hampir keseluruhannnya beragama Islam adalah suku kaum
Bumiputera-Islam yang terbesar di Sabah, mengatasi kaum Bisaya.
Selepas
Pilihanraya Negeri 1990, biarpun Bahrom tewas di Balung atas tiket PBS,
tetapi Pairin masih melantiknya ke jawatan ADUN dan mengekalkan
jawatannya selaku Timbalan Ketua Menteri mewakili Bumiputera-Islam yang
menyebabkan Lajim mengamuk semasa upacara angkat sumpah di Istana. Lajim
ketika itu menang di Klias menewaskan calon USNO, Azizah Mohd Dun
dengan majioriti 791 undi.
Sepanjang
penguasaan PBS di Sabah, bukan rahsia lagi berlaku perebutan jawatan
penting antara Lajim dan Bahrom bagi kuota Bumiputera-Islam, samalah
keadaannya di antara Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Chau Tet On bagi
kuota kaum Cina. Dalam setiap kali pertandingan, kemenangan berpihak
kepada Bahrom. Teck Lee pula berjaya menewaskan Tet On yang kemudiannya
mengerakkan MCA di Sabah.
Lajim
memendam rasa sejak sekian lama di dalam PBS, walaupun beliau memegang
jawatan Menteri dalam kabinet Pairin. Sebaliknya Teck Lee bertindak
menjelang Pilihanraya Negeri Sabah pada 1994 dengan meninggalkan PBS dan
menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP).
Tindakan
Teck Lee itu agak menghairankan kerana beliaulah antara individu yang
kuat mempengaruhi Pairin supaya membawa PBS keluar daripada BN menjelang
Pilihanraya Umum 1990.
Lajim,
walaupun menang sekali lagi kerusi DUN Klias dalam Pilihanraya Negeri
1994, telah mula menunjukkan reaksi untuk mengkhianati PBS dan Pairin.
Bukan rahsia lagi ketika ADUN-ADUN PBS berkampung di Sri Gaya, kediaman
rasmi Ketua Menteri dalam peristiwa di luar pintu pagar Istana sebaik
selesai pilihanraya itu.
Lajim
sudah menghantar mesej mahu meninggalkan PBS dan melompat ke BN. Dalam
pilihanraya tersebut, PBS menang tipis dengan 25 kerusi, berbanding 23
dimenangi BN.
Ketika
itu Pairin menunggu dalam kereta di luar pintu pagar Istana selama 36
jam bersama penyokong-penyokong PBS untuk masuk mengangkat sumpah Ketua
Menteri di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Haji Said
Keruak.
Lajim
yang berada di Sri Gaya dalam keadaan ‘terkurung’ bersama Adun-Adun PBS
yang lain berjaya meloloskan mesej untuk mengkhianati partinya itu yang
menjadi antara sebab upacara angkat sumpah Ketua Menteri tertangguh.
Ketika
itu, Lajim sudah merasakan bahawa keinginannya untuk menjadi Timbalan
Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam tidak akan kesampaian kerana
anak Tun Mustapha, Datu Amirkahar juga turut menang di DUN Banggi atas
tiket PBS.
Jelas
sekali, Pairin melantik Amirkahar selaku Timbalan Ketua Menteri bagi
kuota Bumiputera-Islam yang meningkatkan api kemarahan Lajim terhadap
Pairin dan PBS.
Biarpun
Pairin berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, kekuasaannya
tidaklah kekal lama apabila Lajim bertindak melompat ke parti UMNO
bersama dengan ADUN Kemabong, Rubin Balang dan ADUN lantikan, Haji Zaini
Md Isa.
Biarpun
jasa Lajim dilihat begitu besar hingga menyebabkan peralihan kuasa
daripada PBS kepada BN di Sabah, tetapi dia menyimpan cita-cita pula
untuk menjadi pemimpin nombor satu Sabah, iaitu sebagai Ketua Menteri
dalam sistem penggiliran jawatan itu yang diperkenalkan oleh Perdana
Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Penggiliran
pertama pastinya bukan milik beliau kerana Tun Sakaran Dandai lebih
senior dan mempunyai hairaki kepimpinan yang lebih kanan dalam UMNO
Sabah. Selepas 11 bulan, atas
faktor kesihatan, Tun Sakaran melepaskan jawatan itu tetapi kuota UMNO
itu tidak singgah kepada Lajim, sebaliknya Datuk Salleh Tun Said Keruak
dilantik.
Selepas
Yong Teck Lee dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok mengambil giliran bagi
kuota Cina dan Bumiputera Bukan-Islam, jawatan itu tidak jatuh juga
kepada Lajim, tetapi kepada Datuk Osu Sukam.
Selepas
digilirkan kepada Dato’ Chong Kah Kiat, kemarahan Lajim semakin
membuak-buak apabila jawatan idamannya itu jatuh pula ke tangan Datuk
Musa Aman yang menjadi Ketua Menteri Sabah sejak Mac 2003 sehingga
sekarang.
Ketika
ini Lajim mempersalahkan semua pihak. Baik Musa yang dilihat menjadi
musuh ketatnya dalam politik Sabah, mahupun Perdana Menteri Dato’ Seri
Mohd Najib Tun Razak yang diwar-warkan tidak akan mencalonkan lagi Lajim
dalam Pilihanraya Umum akan datang.
Lajim tidak boleh menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah sampai ke dinding. Sikapnya
yang tidak istiqamah kepada perjuangan parti sudah dapat dihidu sejak
beberapa tahun lalu. Ugutan kepada pucuk pimpinan parti bukanlah cara
yang baik bagi kelangsungan politik peribadi.
Lajim
kini mahu mencari landasan lain untuk meneruskan karier politiknya.
Bagi Lajim, sejak sekian lama hidup dan matinya adalah bergantung kepada
politik. Selaku ahli politik opportunis, beliau sentiasa merangka
langkah politik yang boleh menguntungkannya.
Perhitungan
Lajim meninggalkan Berjaya dan bertanding atas tiket PBS terbukti
mengena pada cita-cita politiknya apabila PBS menang dalam Pilihanraya
Negeri 1985. Tindakannya meninggalkan PBS dan melompat ke UMNO juga
ternyata mengena sehingga membolehkan BN mengambil alih pemerintahan
Kerajaan Negeri Sabah dari PBS pada 1994 dan seterusnya menyambung nasib
politik beliau.
Entah
apalah pula perhitungan dan bacaan politik Lajim kali ini sehingga
sanggup meninggalkan BN dan mahu bersekongkol pula dengan PR. Tetapi
Lajim perlu akui pepatah Melayu akan tiba ke atas dirinya,
"sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua."
Hari
ini Kabinet telah membuat keputusan terhadap kedudukan Lajim,
sebagaimana diumumkan iaitu perlantikannya sebagai Timbalan Menteri
dibatalkan. Setelah tokoh Bisaya itu mengumumkan perletakan pelbagai
jawatannya dalam UMNO dan BN, apalah gunanya lagi beliau duduk di kerusi
Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan. Apa gunanya juga beliau kekal
menjadi ahli UMNO?
Pecatlah
sahaja Lajim, kerana kaum Bisaya di Sabah selama ini menyokong Lajim
bukan kerana dirinya, tetapi kerana parti yang diwakilinya. Lajim akan
menjadi seperti Yong Teck Lee, yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai
'Paramount Leader' (pemimpin agung) kepada kaum Cina di Sabah, tetapi
akhirnya tersungkur dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sandakan
yang majoriti pengundinya di kalangan kaum tersebut. Ironinya, Teck Lee
tewas di tangan seorang wanita yang tidak menonjol dalam arena politik
Sabah.
Pastinya
akan muncul Janang Gayuh yang baru bagi kaum Bisaya di Beaufort.
Manakala Lajim pula akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah politik
Sabah selepas PRU-13 nanti!.
Tulisan Sumbangan : YB Datuk Khusairi Talib.
(NOTA
: Khusairi Talib merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Adun
Slim), Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Ketua UMNO
Bahagian Tanjong Malim, Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim, UKM Bangi
(1982-1986) - author, ex-journalist.)






4 comments:
Syukur Alhamdulillah DURI DALAM DAGING sudah keluar..Lega !
Bagus juga dia join PR..... Akhirnya BN bernafas lega dari bebanan menanggung dua ekor biawak hidup dari Sabah ini.
saya anak sabah,mungkin saya terlalu muda untuk komen semua ini,tapi.. apa yang saya teliti selama ini.. pucuk pimpinan dato seri najib memang bagus... tp sebenarnya.. org2 yg d bwh menteri2 ini yang sebenarnya menjadi duri dalam daging... mana perginya peruntukan perumahan untuk negeri sabah? pernahkah anda fikir siapa pemilik ct bus d sabah? pemilik tanah d bangi? mewartakan kampung d kudat sebagai hutan simpan? siapa dia? Atas nama budi kepada abdulllah hj ahmad badawi,dia mendapat kuasa di sabah..orang itukah sebenarnya duri dalam daging bagi negeri sabah,dia kaya rakyat merana... saya budak kampung,saya mampu nampak sendiri org2 kampung susah... siapa yang akan jadi wakil d beaufort nanti? saya berani jawab,salah seorang dari bangsanya sndiri,bukan org bisaya...
Jangan pandang mudah situasi di Sabah, itu peringatan saya. UMNO perlu bekerja keras dan lebih penting ialah pemilihan calon yang tepat. Cara orang sabah memilih calon amat berbeza berbanding dengan di semenanjung. Parti bukanlah perkara paling utama walaupun ia mampu menyumbang. Tapi bagi rakyat sabah ialah; pemimpin yang dekat dengan rakyat.
Kehidupan luar bandar di sabah jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu memang sudah jauh berbeza, tapi hakikatnya masih jauh kebelakang berbanding semenanjung.
memang benar ada kampung yang memiliki jalan yang baik dan kemudahan yang lengkap, tetapi masih terlalu banyak kampung yang dhaif.
Apa yang merisaukan ialah dimana kita boleh mendengar orang berkata dimana-mana sahaja tentang kekayaan pemimpin-pemimpin BN.Ini bukan satu rashia ataupun fitnah lagi, apabila rumah-rumah pemimpin ini bagaikan istana.
Namun begitu, rakyat masih ramai yang boleh menerima keadaan ini kerana beranggapan keadaan sama dengan mana-mana pemimpin sahaja. tetapi apa yang penting ialah bagi pemimpin-pemimpin ini turun membantu rakyat, agihkanlah kekayaan yang diperolehi. kerana kekayaan itu diperolehi atas bantuan rakyat.
Mengulas keadaan Lajim, Lajim terlalu dekat dengan penduduk sekitar, apa lagi di kalangan siswa dan sisiwi, entah berapa juta telah di berikan kepada anak bisaya yang berjaya masuk ke universiti melalui tabung persatuan bisaya sebagai biasiswa ataupun dari poket beliau sendiri.
memang dato Azizah melakukan perkara yang sama dengan membantu anak-anak bisaya, tetapi Datuk Lajim lebih awal memulakannya.
Jangan kata Lajim keluar BN tiada impaknya, sebab anda tidak melihat untuk merasakannya. sebagai orang yang dekat dengan pusat gempa politik ini, saya merasa gegerannya. Jentera pembangkang semakin berani berkempen. mereka bergerak dalam jumlah yang semakin besar berbanding sebelum ini. Dana mereka seolah-olah begitu besar mengalahkan jentera kerajaan.
Jika pemimpin-pemimpin BN masih memandang rendah keadaan ini, tidak mustahil mereka akan mendapat banyak kerusi di Sabah. Saya masih yakin akan kemenangan BN di Sabah, kerana masih banyak pemimpin agung BN di Sabah, yang tidak mungkin tumbang oleh mana-mana calon, sebut sahaja shafie afdal, Sapawi hj Ahmad, Hanifah Aman dan byk lagi.....
Catat Ulasan