Jumaat, 22 Jun 2012

Dokumen Yang Cuba Disorokkan Oleh Pemimpin PAS

 Apa jadi dokumen negara Islam?
DR MASHITAH IBRAHIM
22 Jun 2012
Tahun ini genap satu dekad Dokumen Negara Islam. Ketika dilancarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada November 2003, ia dicanangkan sebagai “usaha serius menangani kegagalan akal manusia” berhubung pelbagai masalah dalam negara. Dokumen ini kononnya merangkumi semua aspek negara Islam berasaskan al-Quran dan Sunnah, yang disediakan tenaga pakar Pas.

Dokumen ini diterbitkan sebagai reaksi kepada cabaran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kritikan seorang wakil Pemuda Pas terhadap kepimpinan parti di muktamar ke-49. Selama puluhan tahun Pas menuduh kerajaan sebagai sekular, Perlembagaan Persekutuan sebagai jahiliah, mahkamah sebagai toghut dan Umno sebagai “kafir berikat” kerana hubungannya dengan parti MCA dan MIC dalam Perikatan-Barisan Nasional.

Cerdik pandai Pas mengambil masa dua tahun setengah menyediakan dokumen 53 muka surat ini, atau purata sebulan untuk menyiapkan 1.8 muka surat.

Sepuluh muka surat pertama dihiasi tiga ayat al-Quran mengenai kerajaan, bersifat umum dan boleh diguna pakai sesiapa.

Empat muka surat selanjutnya ialah kata-kata aluan Abdul Hadi.

Mukadimah pula lima muka surat menjelaskan ideologi Pas. Isi sebenar cuma 32 muka surat, terbahagi kepada empat bahagian: tasawur (gambaran) negara Islam, dasar utama pemerintahan, ciri-ciri utama dan beberapa polisi umum negara Islam.

Dari segi ilmu, perbincangan dalam dokumen ini sangat tohor, tidak ilmiah dan terlalu umum untuk dijadikan panduan.

Penghasilannya bagai melepaskan batuk di tangga. Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas berpendapat isi buku ini bagaikan khutbah biasa selain penjelasan yang banyak berselindung, banyak kesalahan bahasa dan lebih cenderung menimbulkan kekeliruan daripada penerangan.

Sebaik sahaja diterbitkan, dokumen ini menerima pelbagai kritikan. Paling lantang ialah pucuk pemimpin DAP. Karpal Singh kata, “langkah mayat dia dulu” jika Pas mahu wujudkan negara Islam. Lim Kit Siang berkata, dokumen ini tidak boleh diterima langsung kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan manifesto bersama Barisan Alternatif 1999. Ia juga bercanggah dengan prinsip demokrasi, hak asasi, pluralisme, hak wanita dan modenisme.

Kit Siang tuduh Pas tidak boleh dipercayai kerana bersikap ‘lidah bercabang”. Jaminan Pas tidak meneruskan perjuangannya membentuk negara Islam diisytiharkan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Persidangan Gereja-Gereja Malaysia di Petaling Jaya pada Mei 2000 dan Naib Presiden ketika itu Datuk Mustafa Ali dalam wawancara BBC pada September 2003. Kit Siang menarik perhatian mengenai perbezaan kandungan dokumen ini dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris – satu cubaan Pas untuk memberi mesej berbeza kepada pengundi Melayu-Islam dan pengundi bukan Melayu-bukan Islam.

Pemimpin veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, partinya tidak akan menyokong hasrat Pas menubuhkan negara Islam kerana ia hanya senjata Pas berebut agenda agama dengan Umno. Dokumen Negara Islam bersifat superfisial, kurang substance dan Malaysia tidak boleh dikuasai pemerintahan ala Ayatollah Khomeini, tegasnya.

Pemimpin sekutu termasuk Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali jelas tidak selesa dengan pendirian Pas.

Mereka mengeluarkan kenyataan akhbar menghormati hak Pas tetapi menegaskan bahawa “sebarang perubahan sistem perundangan dan pengenalan undang-undang hudud perlu mendapatkan sokongan majoriti rakyat.”

Tahun ini sepatutnya Pas meraikan sambutan tahun ke-10 dokumen ini diterbitkan kerana ia hasil cerdik pandai Pas mengenai matlamat perjuangannya.

Namun, semua orang tahu Pas hari ini sudah banyak berubah dari segi prinsip, cara dan asas perjuangan politiknya.

Yang penting bukan lagi negara Islam tetapi kuasa semata-mata. Buku kecil ini pun tidak boleh didapati lagi, baik di pasaran mahupun pejabat Pas. Saya percaya pemimpin Pas sendiri lebih senang jika isu dokumen ini dikuburkan saja. Ia sudah diganti dengan buku lain iaitu perihal negara berkebajikan yang sudah pun saya ulas dalam ruangan ini. Sama-samalah kita tengok apa jadi buku negara berkebajikan ini, adakah nasibnya seburuk Dokumen Negara Islam?

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-mashitah-ibrahim/apa-jadi-dokumen-negara-islam-1.59024


*Presiden PAS sendiri dah kibar bendera putih. Tukar Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.


3 comments:

QalamQabut berkata... 22 Jun 2012 9:57 PTG

Kalau dibaca perenggan pertama artikel ini dan dengar klip yang bertajuk 'Haji Hadi Tolak Negara Islam' bermakna Haji Hadi dah tipu orang PAS la selama ini?

Dan ia juga bermakna Haji Hadi tak mendalami bersungguh2 mengenai Al-Quran lah selama ini, baru sedar yang tidak ada disebut pun mengenai negara Islam dala kitab itu. Masih bodoh lagi le dia ni! Dan memperbodohkan pula pengikutnya.

Adushhh... Tertipu orang2 PAS sepanjang hayat.

Dan sekarang ni PAS nak jadi Islam Liberal pulak ke? Boleh bantu-membantu dengan DAP yang dikatakan kafir harbi dan dengan PKR yang mempelopori kebebasan seks LBGT. Taat dan bersetialah kamu dengan pemimpin2 kamu wahai penganut PAS. Itu saja keupayaan dan kepandaian yang kamu ada.

Tanpa Nama berkata... 25 Jun 2012 1:33 PG

hangpa pemikiran jumud. sempit. tak tengok ka di mesir. turki. politik kena faham konteks. bukan sodok saja mcm umno. di mesir, yang menang adalah dari ikhwan, tetapi tidak melulu kepada 'negara islam'. di turki banyak saja islamis yang berwadahkan parti sekular. setelkan dulu apa yang patut. mengaji biar habis. islam bukan jumud dok dalam kopiah atau songkok saja. jangan jadi bahlol ya.

QalamQabut berkata... 25 Jun 2012 2:04 PG

Itulah sebabnya kita kena sedar siapa diri kita. jangan ingat kita saja yang pandai, yang betul dan benar. Jika kita respect orang, orang juga akan respect kita. Jangan perkecil dan perlekehkan orang. Pemimpin seharusnya mempunyai budi pekerti yang tinggi, tutur kata yang menyenang hati, tingkah laku yang terpuji.

Siapa pun yang salah harus diperbetul, tidak kira pangkat, bangsa atau agama. Jangan nampak kesalahan orang lain saja, malah silap sendiri pun disalahkan orang lain.

Setiap manusia ada kelemahan dan kelebihannya. Diri sendiri kena tahulah juga setakat mana keupayaan kita. Kalau dah tak pandai nak tadbir negeri atau negara, biar orang yang pandai buat. Kalau kita pandai bagi nasihat dan tunjuk ajar, bantu dia, bagi kesedaran dekat dia. Tapi elakkanlah dari menjatuhkan saudara sedarah sedaging dan seagama. Ulamak dan umarak seharusnya berganding tangan, bukan bermusuh musuhan.

Orang yang gila nak berkuasa ni, bukan saja hilang dah batas susila, tetapi agama juga boleh dikorbankannya. Pengikut pula janganlah mengikut membabi buta hingga tak tahu antara betul dan salah, bohong dan benar.

Catat Ulasan