Isnin, 23 April 2012

SENSASI : DS Najib Lantik Adik Pemimpin Kanan DAP Sebagai Pengerusi BN Penang.

Gambar dari Sinar Harian (sumber)
Berita dari BERNAMA.

Teng Hadapi Misi Sukar Selaku Pengerusi BN Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Teka-teki mengenai jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akhirnya terjawab.

Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow dinamakan oleh Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai gagasan itu di negeri ini.

Persoalan mengenai siapa yang akan mengambil alih jawatan Pengerusi BN negeri timbul susulan pengumuman Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada November tahun lepas bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi sesetengah pihak, jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang, bukanlah sesuatu yang perlu dicemburui sebab jawatan itu datang bersama tanggungjawab berat untuk memenangi semula negeri ini daripada kerajaan negeri pakatan pembangkang yang dipimpin DAP.

Sumber dalaman parti berkata persetujuan dicapai dalam Gerakan mengenai siapa yang patut dicalonkan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu tetapi pengumumannya ditangguhkan ekoran pertelingkahan dalaman Gerakan negeri berhubung perkara itu.

Namun begitu, tiada nama yang diumumkan sehinggalah hari ini.

Teng muncul sebagai calon yang disebut-sebut bagi jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sejurus sebelum hari pengundian pada pilihan raya umum 2008, tetapi prestasi buruk Gerakan dalam pilihan raya itu, termasuk kekalahan beliau, sekali gus melenyapkan cadangan itu.

Bagaimanapun, memandangkan beliau kini kembali menjadi tumpuan selepas dilantik sebagai Pengerusi BN negeri, beliau dianggap sebagai bakal Ketua Menteri seandainya BN berjaya memenangi semula Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Teng, 47, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, datang daripada keluarga pemimpin politik yang menjawat jawatan di kedua-dua aliran politik.

Abang beliau, Datuk Teng Chang Khim, ialah seorang pemimpin DAP Selangor dan Speaker Dewan Undangan Negeri dalam kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bapa beliau, yang tidak mahu menonjolkan diri, ialah pemimpin akar umbi MCA yang disegani di Batu Pahat, kampung halaman Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Bapa saudaranya pula, Datuk Teng Boon Soon, ialah Anggota Parlimen Tebrau dan orang kuat MCA yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Lebih menarik, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang juga berasal dari Batu Pahat.

Dari satu sudut, pemimpin dan anggota parti tetap mengingati Chang Yeow sebagai ahli politik yang mengalahkan Pengerusi DAP Karpal Singh bagi kerusi DUN Padang Kota dalam pilihan raya umum 1995 dengan majoriti lebih 2,500 undi.

Seorang penganalisis politik yang berpusat di Pulau Pinang, Datuk Dr Cheah See Kian berkata Najib membuat langkah bijak dengan melantik Teng sebagai Pengerusi BN negeri memandangkan beliau terkenal sebagai seorang 'pejuang agresif' yang amat sesuai untuk berdepan Guan Eng.

"Tambahan pula Teng boleh berhujah dan ini akan membuatkan rakyat berfikir. Selain itu, Teng berasal daripada generasi muda pemimpin. Nampaknya BN telah menempatkan sepasukan pemimpin muda di Pulau Pinang," katanya.

Teng mungkin bukanlah orang yang popular dalam Gerakan tetapi keberanian beliau dalam isu tertentu sememangnya mendapat perhatian beberapa pemimpin, baik di dalam mahupun di luar parti.

Cheah selanjutnya menjelaskan bahawa dengan melantik Teng sebagai pemimpin BN Pulau Pinang yang baharu, langkah itu dapat memberi dorongan kepada seluruh jentera negeri memandangkan beliau terkenal sebagai antara segelintir pemimpin parti yang pernah berdepan pemimpin pembangkang dalam perdebatan politik.

"Dengan meletakkan Teng Chang Yeow di teraju kepimpinan, sekurang-kurangnya ini akan mencerahkan harapan BN. Langkah ini akan dapat meletakkan kerajaan negeri sekarang dalam keadaan terdesak," katanya. BERNAMA

MyMassa sokong pelantikan ini. Tak kiralah latar belakang Teng Chang Yeow, jika beliau mampu menjalankan amanah yang diberi, dia memang layak ke jawatan tersebut. Sebagai bukti, Malaysian Insider telah mengeluarkan berita bahawa DAP takut dengan pelantikan Teng sebagai Pengerusi BN Penang.
BN meningkat naik di Penang dan populariti Anwar merundum
Oleh Jahabar Sadiq
 
KUALA LUMPUR, 23 April — Kepimpinan agresif oleh ketua Barisan Nasional (BN) baru Penang Teng Chang Yeow dan penurunan populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri itu telah memberikan kerajaan harapan mereka akan menawan kembali negeri berkenaan daripada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum akan datang.

The Malaysian Insider difahamkan BN mahu Ketua Menteri sedia ada Lim Guan Eng hanya bertahan di negeri itu tanpa berkempen di mana-mana lokasi dalam pilihan raya tersebut. Sumber mengesahkan kaji selidik dalaman DAP menunjukkan populariti Anwar merundum termasuk di kerusinya sendiri di Permatang Pauh.

“Lim perlu melakukan sesuatu sekarang kerana sokongan Melayu telah berubah. Populariti Anwar (gambar) telah turun kepada hanya 50 peratus di Permatang Pauh dan ia amat dibimbangkan,” kata sumber DAP kepada The Malaysian Insider.

Tambahnya, Lim telah mula menggerakkan parti dan pakatannya termasuk PAS dan PKR untuk melakukan kempen yang lebih menyeluruh untuk mengekalkan negeri itu, di mana PR menguasai 29 daripada 40 kerusi. Umno menguasai 11 kerusi yang lainnya.

“Lim berkata tiada kerusi yang selamat dan perlu bekerja keras untuk mendapatkannya bagi mengekalkan negeri ini,” kata sumber lain.

Pulau Pinang merupakan kawasan Anwar dan Permatang Pauh merupakan kerusinya sejak menyertai politik pada 1982. Sumber dalaman DAP berkata tiada ancaman Anwar akan kehilangan kerusinya, namun prestasi yang lemah memungkinkan BN menguasai negeri tersebut.

“Lim memberi jaminan Cina akan mengundi mereka, tapi undi Melayu adalah sukar dan Umno percaya mereka akan menguasai demografi berkenaan, dengan Chang Yeow dari Gerakan memberikan alternatif kepada DAP,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider.

Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengumumkan jawatan baru Chang Yeow semalam, menamatkan enam bulan kerja belakang tabir BN negeri.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan November lalu, Chang Yeow akan menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk pilihan raya akan datang tapi parti politik menangguhkan pertemuan itu.

Ketua Gerakan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan akan kekal di kedudukannya tapi kemenangan BN akan memastikan Chang Yeow berpotensi dilantik sebagai ketua menteri. Turut difahamkan Gerakan akan mendapatkan lebih banyak kerusi dari MCA dalam pilihan raya umum akan datang.

“Lawatan Najib sepanjang minggu lalu untuk meningkatkan BN Pulau Pinang dan memberitahu mereka negeri itu amat penting seperti negeri lain dalam pilihan raya,” kata sumber BN yang lain.

Chang Yeow adalah Adun tiga penggal negeri itu untuk kerusi Padang Kota antara tahun 1995 dan 2008 apabila beliau tewas kerusinya dan BN negeri tumbang.

Beliau merupakan exco kerajaan negeri antara tahun 2004 dan 2008. Beliau adalah calon terbaik yang menentang Pengerusi DAP Karpal Singh untuk kerusi Padang Kota pada pilihan raya 1995, dengan majoriti lebih 2,500 undi.

Hock Nan pula telah menjadi ketua Gerakan Pulau Pinang sejak 2008 dan merupakan Naib Presiden parti sejak 2005. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Adun selama tiga penggal dan juga calon berkelayakan untuk menjadi ketua menteri II sekiranya Gerakan mengekalkan negeri itu pada pilihan raya 2008.

Koh, yang baru-baru ini memperbaharui penggalnya sebagai senator, telah mengumumkan beliau tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang, selepas media BN mengatakan keperluan untuk mengubah parti pelbagai kaum itu.

Turut difahamkan pandangan Putrajaya terhadap beliau perlu berundur sebagai ketua parti komponen BN sebelum pilihan raya sekiranya perikatan itu berhasrat menawan Pulau Pinang daripada PR.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bn-meningkat-naik-di-penang-dan-populariti-anwar-merundum/

Tahniah DS Najib kerana membuat pilihan yan tepat.


*Kalau betul maklumat dalam artikel Malaysian Insider, BN ada peluang untuk tadbir semula Penang. Amin.

0 comments:

Catat Ulasan