Peranan penting, kritikal PAS
Berbanding dengan sekutu rapatnya, KeADILan dan DAP, dalam PRU12 hampir empat tahun lalu, PAS memiliki kerusi Parlimen terkecil. Ketika pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Tionghua, dijangka terus menolak BN, perhatian tertumpu kepada kecenderungan mengundi orang Melayu.
Pemerhati politik melihat PRU13 adalah perebutan sengit di antara Pakatan dan BN untuk memenangi hati dan pemikiran pengundi Melayu. Semasa pengundi Cina dianggap "simpanan tetap" Pakatan, Umno pula mendakwa mereka masih mempunyai sokongan besar di kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan kampung tradisi dan peneroka Felda.

Azaharudin Husein, bekas pegawai di Kementerian Penerangan, mahu PAS lebih serius mengatur kempen penerangan mendekati setiap sektor masyarakat.
Justeru, PAS yang bertanding lebih banyak kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu, menggalas harapan cukup penting tetapi kritikal, bagi menjayakan cita-cita majoriti rakyat untuk melihat satu perubahan besar sebuah kerajaan alternatif tertegak selepas PRU13 nanti.
'Penting' disebabkan ia perlu menang lebih banyak kerusi di kawasan Melayu tetapi 'kritikal' kerana trend mengundi orang Melayu masih konservatif.

Wartawan bebas, Selena Tay membandingkan budaya politik Cina dan Melayu. Baginya, Melayu juga mempunyai sejarah agung yang perlu diingatkan agar masyarakatnya kembali kepada jati diri.
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang menyepi lama selepas ditubuhkan lebih sepuluh tahun lalu mengambil inisiatif berani menganjurkan Wacana PRU13 bagi membahaskan tajuk "Peranan Strategik dan Kritikal PAS Menjayakan Roadmap Pakatan ke Putrajaya", di Hotel Midah, dekat sini, pagi 18 Februari lalu.
Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman, dalam ucapan aluannya menjelaskan bahawa faktor PAS perlu disentuh secara mendalam bukan bermaksud untuk menafikan peranan penting parti-parti lain dalam Pakatan, tetapi untuk memfokuskan perbincangan disebabkan PAS bertembung dengan lebih ramai calon Umno dan Umno pula teras kepada BN.

Abdul Rahman Othman mengingatkan tugas kritikal PAS untuk memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi Parlimen daripada hampir 80 kerusi yang bakal ditandinginya.
Dua ahli panel diundang, iaitu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan bekas pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Ghazali Mayudin. Seramai 40 tetamu khas, melibatkan pengamal media, blogger, penulis, aktivis masyarakat, penggerak NGO, tenaga akademik dan penggiat politik turut serta dalam sesi perbincangan, yang berakhir jam 1 tengahari.
Rata-rata bersependapat bahawa PRU13 adalah kesempatan atau peluang terbaik buat rakyat Malaysia menyaksikan perubahan kerajaan. Dalam pada itu, terdapat peserta wacana yang mempersoalkan persiapan PAS dan Pakatan Rakyat selepas hampir empat tahun berlakunya tsunami politik, sekali gus mempertikai keseriusan mengatur strategi dan membina keyakinan rakyat.

Pelbagai idea menarik dikemukakan dalam Wacana PRU13, termasuk agar sebarang perselisihan sesama Pakatan bukan sahaja diminimakan tetapi dielakkan terus.
Malah, ada yang beranggapan "roadmap ke Putrajaya" itu sendiri sudah tidak relevan terutama jika dilihat dalam konteks kesepaduan Pakatan bagi mengelak pertembungan sesama sendiri, yang dibimbangi boleh menggugat keyakinan masyarakat.
Ghazali mengingatkan Pakatan supaya tidak memandang remeh terhadap beberapa langkah pembaharuan ataupun kempen turun pandang oleh Dato' Seri Najib Razak. Begitu juga dengan tanggapan umum yang negatif berikutan sikap pemimpin tertentu dalam Pakatan, yang disifatkan Ghazali, sebagai tidak mengambil berat soal sensitiviti orang Melayu, walaupun dalam perkara yang dianggap kecil, misalnya budaya berpakaian.
Bagaimanapun, majoriti peserta tetap menaruh harapan tinggi bahawa rakyat Malaysia seolah-olah tidak sabar lagi menunggu tarikh keramat Parlimen dibubarkan untuk menggerakkan reformasi lebih menyeluruh. Sekurang-kurangnya mereka bersetuju bahawa fenomena Asalkan Bukan Umno (ABU) dijangka bakal mempengaruhi landskap politik tanahair.

Mohamad Sabu mahu pimpinan Pakatan, khususnya PAS, memandang serius isu integriti terutama mereka yang menerajui kerajaan, manakala Ghazali Mayudin (kanan) menekankan soal "mentaliti pembangkang" yang menjadi penghalang.
Meskipun PAS menerima pelbagai teguran, kritikan, hatta kecaman keras daripada para peserta, namun Mat Sabu kelihatan tenang. Beliau dilihat banyak mencatat komentar terbuka yang diluahkan, serta akur dengan kelemahan parti yang perlu diperbaiki segera. Mat Sabu turut menekankan soal integriti pemimpin Pakatan, terutama yang mempunyai jawatan penting dalam kerajaan.
Beliau mengakui bahawa terdapat sekelompok orang Melayu, bukan sahaja di luar bandar, malah yang berpendidikan tinggi dan tergolong dalam kelas menengah, tetapi masih mudah dikelirukan propaganda jahat Umno. "Ini satu tugas getir PAS yang mesti ditangani dengan baik," kata Mat Sabu.

Ahmad Lutfi menyerahkan cenderahati kepada Tarmizi Mohd Jam, Pengarang Berita Harakah (kiri) yang bertindak sebagai moderator wacana, sambil diperhatikan Mat Sabu.
Memandangkan tarikh PRU13 yang begitu hampir, dan boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, ada yang mengingatkan agar pemimpin PAS memandang serius penampilan calon-calon.
"Perlu ditonjolkan lebih ramai muka-muka baru PAS, yang profesional dan mempunyai latar belakang yang meyakinkan pengundi. Mungkin pengalaman DAP yang mencalonkan tokoh-tokoh muda yang berwibawa dalam PRU12 perlu dicontohi PAS," kata Abdul Rahman Othman, bekas Timbalan Presiden KeADILan, yang kini ahli PAS di Subang Jaya.
http://tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=print&sid=12655
Bekas Timbalan Presiden PKR kini masuk PAS sebagai ahli biasa. Walaupun ahli biasa tetapi cuba tengok hidden agenda yang cuba disampaikan iaitu....."Perlu ditonjolkan lebih ramai muka-muka baru PAS, yang profesional dan mempunyai latar belakang yang meyakinkan pengundi".
Kenapa perlu calon profesional tidak calon ulama? Adakah PAS kini sudah bertukar nama kepada Parti Profesional Malaysia (PPM)?
Apa yang MyMassa dedahkan adalah sekelumit dari gerak kerja kumpulan parasit yang menyebarkan racun-racun bahawa ulama tidak lagi layak untuk memimpin PAS.
Satu lagi yang MyMassa nak bangkitkan adalah bagaimana Harakah telah digunakan untuk menyebarkan propaganda kumpulan parasit.
Terima kasih Tranungkite kerana secara tidak sengaja membongkarkan gerak kerja kumpulan parasit dalam PAS.
*Sebar-sebarkan.



0 comments:
Catat Ulasan