Khamis, 29 Disember 2011

Hasan Ali Kena Fitnah Lagi Dengan Harakah!


Hasan Ali: Harakahdaily seleweng fakta
Oleh Mohd Farhan Darwis
December 29, 2011


KUALA LUMPUR, 29 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menafikan laporan media rasmi PAS, Harakahdaily berkenaan laporan dia pergi berjumpa Mursyidul Am untuk meminta maaf di Kelantan kelmarin.

Sebaliknya, menurut bekas Pesuruhjaya PAS berkenaan, tujuan dia ke Kelantan adalah untuk menghadiri majlis mahabbah melibatkan dirinya dan Nasharudin Mat Isa, bersama-sama pemimpin tertinggi PAS.

“Sebenarnya saya dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah melibatkan saya dan Nasharudin Mat Isa bersama-sama dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din di kediaman rasmi Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10 Kota Bharu.

“Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali.

“Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Laporan Harakahdaily semalam menyebut Hasan Ali (gambar) dan Nasharuddin berjumpa Nik Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar tersebut untuk meminta maaf terhadap beberapa isu sebelum ini dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Kenyataan itu turut disahkan oleh Nik Aziz sendiri, malah beliau turut bercadang untuk membuat kenduri kecil-kecilan bagi meraikan perkara tersebut.

Tambah Nik Aziz, pertemuan tersebut dianjurkan oleh PAS Pusat dan menurutnya, “sekiranya PAS Pusat tidak mengatur pertemuan itu sekalipun, saya akan panggil dia.”

“Saya berharap PAS Pusat dapat menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan rancangan berkenaan,” katanya.

Malah, beliau yakin, perkara itu tidak lagi akan dijadikan isu oleh Umno ekoran ruang mereka untuk tujuan itu sudah tertutup rapat.

Sementara itu, menurut Hasan, majlis mahabbah tersebut berlangsung dengan penuh kemesraan, keakraban dan keikhlasan dan antara perkara yang disentuh termasuklah halatuju parti, persediaan PRU 13, dan perjalanan Harakah sebagai lidah rasmi parti.

“Kami telah memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya,” kata Hasan lagi.

Sehubungan itu, Hasan turut menzahirkan rasa terharu terhadap penghargaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadapnya dalam meneruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam di negara ini.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hasan-ali-harakahdaily-seleweng-fakta/

*Terdesak sangat PAS sekarang ni. Sanggup fitnah pemimpin sendiri.

0 comments:

Catat Ulasan