Sabtu, 30 Julai 2011

AN-NUR


MUQADDIMAH SURAH AN-NUR.

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 64 ayat. Dinamakan Surah “An-Nur” (Cahaya) kerana bandingan nur hidayah pertunjuk Allah (s.w.t.) ada disebutkan perihal-perihalnya mulai ayat 35.

Intisari kandungannya: Menerangkan hukuman yang dikenakan kepada orang yang berzina – lelaki dan perempuan. Juga menerangkan hukum orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, dan hukum orang-orang yang melemparkan tuduhan yang demikian kepada isterinya.

Membersihkan nama baik Siti ‘Aishah (r.a.a.) dari tuduhan dusta yang dilemparkan kepadanya oleh kaum munafik di Madinah. Pembersihan nama baik Siti ‘Aishah iti diabadikan oleh Allah Ta’ala dalam beberapa ayat suci yang kekal dibaca turun-temurun di dalam Al-Qur’an’ul-Karim.

Menerangkan cara dan adab peraturan berziarah ke rumah orang lain, supaya terhindar dari berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini, lebih-lebih lagi kalau pada masa itu orang lelaki tidak ada di rumah.

Kemudian Allah Ta’ala perintahkan orang-orang Islam lelaki dan perempuan, supaya mereka menyekat pandangan masing-masing daripada melihat yang haram, dan menjaga kehormatannya daripada melakukan zina atau lain-lain perkara yang keji. Selain dari itu, perempuan-perempuan Islam, diharamkan mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahramnya, kecuali anggota tubuhnya yang zahir – iaitu bulatan muka dan kedua tapak tangan.

Setelah menerangkan bandingan nur hidayah pertunjuk Allah, lalu diterangkan perihal orang-orang yang beriman, dan bahawa mereka di dunia berada dalam sinaran cahaya hidayah yang berlapis-lapis, yang dilimpahi Allah Ta’ala kepada mereka, dan di akhirat pula mereka akan menerima sebaik-baik balasan disebabkan amal-amal salih yang mereka kerjakan.

Setelah itu ditegaskan bahawa umat Islam yang beriman dan beramal salih akan dikurniakan memegang kuasa pemerintahan di bumi.

Apa yang telah dijanjikan oleh Allah Ta’ala telah berlaku, kerana umat Islam yang pada mulanya kecil jumlahnya, ditindas dan diancam oleh musuh telah berjaya terutama dalam zaman Nabi dan sahabat-sahabat Baginda mencapai kuasa pemerintahan, menghancurkan musuh-musuh yang menceroboh, dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia.

Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa Allah jualah yang menguasai dan mengetahui keadaan sekalian makhluknya, dan mereka semua akan kembali kepadaNya untuk diterangkan kepada mereka apa yang mereka telah kerjakan. 

0 comments:

Catat Ulasan