Jumaat, 29 Julai 2011

AL-MU’MINUN

MUQADDIMAH SURAH AL-MU’MINUN.
Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 118 ayat. Dinamakan Surah “Al-Mu’minun” (Perihal Orang-Orang Yang Beriman) kerana sifat-sifat mereka dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan mereka dapati ada disebutkan pada ayat-ayat 1-11..
Intisari kandungannya: Menerangkan bahawa orang-orang yang beriman yang tetap berjaya dan diredai Allah Ta’ala ialah mereka yang mengerjakan sembahyang dengan sempurna dan khusyuk, yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakatnya, yang menjaga kehormatannya dari perhubungan yang haram, dan yang menjaga amanah serta menepati janjinya.
Setelah menerangkan perihal kejadian manusia dan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan kepadanya, dan kisah Nabi-nabi yang telah lalu bersama kaum masing-masing, lalu menerangkan perihal Nabi Muhammad (s.a.w.) dan golongan kafir yang menentangnya.
Kemudian menerangkan bahawa harta kekayaan, anak-pinak yang ramai, pangkat kebesaran, dan pengaruh kekuasaan, yang telah diberikan oleh Allah Ta’ala kepada orang-orang yang ingkar, tidak bermakna bahawa dengan itu Allah Ta’ala memberikan mereka kebaikan, bahkan pemberian yang demikian merupakan ujian adakah mereka menghargainya dengan bertaubat dan bersyukur, atau mereka makin bertambah dosa dan tenggelam dalam kesesatan yang mereka pilih itu.
Ditegaskan pula bahawa dalam Islam, tidak ada perintah-perintah Allah yang menyusahkan atau memberati. Orang yang sihat dan orang yang uzur, masing-masing dapat mengerjakannya sekadar kemampuan dan kesanggupannya.
Surah ini diakhiri dengan memerintahkan Baginda dan umatnya, supaya sentiasa memohon keampunan Allah ‘Azza wa Jalla dan rahmatNya semoga mereka selamat sentosa di dunia dan di akhirat.

0 comments:

Catat Ulasan