Khamis, 28 Julai 2011

AL-HAJJ


MUQADDIMAH SURAH AL-HAJJ.
Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 78 ayat. Dinamakan Surah “Al-Hajj” (Perihal Ibadat Haji) kerana perintah Allah Ta’ala mengenai amalan haji ini ada disebutkan mulai dari ayat 26.
Intisari kandungannya: Menerangkan tentang hari akhirat dan menarik perhatian umat manusia jika ada sesiapa yang menaruh syak tentang kedatangan hari kiamat hendaklah mereka memikirkan keadaan kejadian diri mereka sendiri nescaya akan hilanglah keraguan mereka dan akan dapatlah diketahui bahawa Allah yang berkuasa menciptakan mereka pada mulanya tentulah berkuasa menghidupkan mereka semula pada hari kiamat untuk diadili dan menerima balasan.
Ditegaskan pula bahawa Allah Ta’ala tetap akan menolong Nabi Muhammad (s.a.w.) dalam alam kehidupan dunia ini untuk mengembangkan Islam dan mencapai kemenangan, serta mengurniakannya dengan sebesar-besar kemuliaan di akhirat kelak. Sesiapa sahaja dari musuh-musuh Islam yang menyangka sebaliknya – disebabkan hasad dengkinya – maka biarlah dia membunuh diri, kerana segala rancangannya yang jahat tidak akan dapat menyekat pertolongan Allah ‘Azza wa Jalla kepada RasulNya.
Oleh kerana Junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w.) dan orang-orang Islam yang besertanya telah ditindas dengan kejam oleh kaum kafir musyrik di Mekah sehingga Baginda dan pengikut-pengikutnya terpaksa berhijrah ke Madinah, dan oleh kerana kaum kafir musyrik tidak putus-putus mengancam dan menceroboh, maka Baginda dan orang-orang Islam yang telah puas bersabar – diizinkan oleh Allah Ta’ala menghunus senjata menentang pencerobohan itu. Kesudahannya Baginda mencapai kemenangan yang besar dan tidak lama kemudian Mekah dikuasai oleh Baginda dan seluruh penduduknya memeluk Islam.
Umat Islam telah dipuji oleh Allah Ta’ala kerana mereka berjuang untuk menegakkan kebenaran, dan manakala mereka memegang kuasa, mereka menjalankan hukum-hukum syari’at Islam dengan sempurna.
Diterangkan pula tentang bagaimana Nabi Ibrahim (a.s.) diperintahkan oleh Allah Ta’ala mendirikan “Baitullah” (Ka’bah) di Tanah Suci Mekah, serta diperintahkan menyeru umat manusia mengerjakan ibadat haji di situ. Kemudian Allah Ta’ala menerangkan amalan ibadat haji dan faedah-faedahnya yang didapati oleh orang-orang yang mengerjakannya.
Surah ini diakhiri dengan memerintahkan supaya umat Islam berjihad (berjuang) dengan bersungguh-sungguh mengerjakan suruhan-suruhan Allah dengan sempurna, dan dengan ikhlas kepada Allah semata-mata, kerana Allah jualah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

0 comments:

Catat Ulasan