Rabu, 1 Jun 2011

WARISAN PERJUANGAN BANGSA


Menemui Sham di London,

        Salam dari Abah dan Emak untuk Sham, Suraya dan cucu-cucu Abah - Ahmad, Shukri dan Adam semoga sentiasa sihat dan ceria.

        Sham, siang tadi abah ada berbincang dengan kawan-kawan di pejabat mengenai pelajar-pelajar di Malaysia di luar negara khususnya di London. Mengikut kawan-kawan abah, banyak pelajar-pelajar sekarang ini “anti establishment” dan banyak menyokong parti-parti pembangkang. Dengarnya kerap pemimpin-pemimpin pembangkang berada di London dan menemui pelajar-pelajar di sana. Negara kita mengamalkan demokrasi, jadi sesiapa saja berhak untuk menyuarakan pandangan dan perspektif masing-masing. Begitu juga pelajar, mereka berhak untuk mendengar dan memikirkan pandangan-pandangan pelbagai pihak. Abah faham, engkau pun sering mendengar ceramah-ceramah mereka. Abah cuma berharap engkau menggunakan daya pemikiran kritikal berasaskan fakta-fakta sebelum bersetuju dengan hujjah-hujjah mereka.

        Sham, semasa menulis surat ini jam sudah hampir 10 malam. Di malam yang hening ini, abah rasa terpanggil untuk menceritakan pengalaman abah semasa belajar di tahun-tahun 60an dan 70an dahulu. Abah mahu engkau mengerti dan menghayati jejak-jejak dan detik-detik yang abah lalui semasa zaman abah belajar dahulu di sekolah dan di universiti.

        Di tahun 60an dan awal 70an dahulu abah belajar di sekolah-sekolah di Johor Bharu – Sek. Dato’ Jaafar dan English College. Abah masih ingat lagi waktu zaman dahulu, di waktu itu sangat sedikit guru-guru Melayu yang mempunyai ijazah apa lagi dalam bidang sains dan matematik. Terasa hina bangsa kita waktu itu, guru-guru siswazah bangsa Melayu dalam pelbagai bidang terutama sains dan matematik boleh dikira dengan jari. Pelajar Melayu yang mendapat mendapat markah tinggi dalam peperiksaan MCE dan HSC juga sangat kecil bilangan. Masa abah ambil MCE di Sek. Dato’ Jaafar dahulu, cuma ada tiga orang saja pelajar Melayu yang mendapat pangkat 1. Itupun pencapaian matapelajaran tidak tinggi dan tidak banyak ‘distinction’  dalam matapelajaran termasuklah abah sendiri, walaupun mendapat gred 1. Begitu jugalah semasa keputusan HSC, sangat kecil bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan masing-masing.

        Semasa abah belajar di Univerisiti Malaya awal tahun 70an, abah dapat biasiswa. Tanpa biasiswa memang abah tidak mampu untuk belajar di Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Abah tengok kawan-kawan abah pun begitu, ramai yang tidak mungkin dapat belajar di menara gading ini tanpa bantuan Kerajaan. Abah juga perhatikan tidak ramai pelajar-pelajar Melayu yang mengikuti pengajian dalam perubatan, kejuruteraan, sains dan lain-lain bidang professional. Pensyarah-pensyarah universiti Malaya dan juga lain-lain universiti waktu itu dalam bidang-bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan sains sangat kecil bilangan daripada orang Melayu-boleh dikira dengan jari. Pensyarah-pensyarah Melayu kebanyakkannya ramai di Fakulti Sastera. Terasa  hinanya bangsa kita kerana para ilmuan ditanahair yang tercinta ini sangat kurang daripada orang Melayu. Begitu juga waktu mula abah bekerja dalam perkhidmatan Kerajaan, pegawai-pegawai professional seperti doktor, jurutera, akauntan dan lain-lain bidang professional, orang-orang Melayu sangat sedikit bilangannya. Abah tersa sungguh insaf waktu itu, tentang mundurnya bangsa kita sebagai glolongan ilmuan dan professional. Abah bersyukur dan masih ingat bagaimana pejuang-pejuang bangsa seperti Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Muhammad yang begitu insaf dengan kedudukan daif orang-orang Melayu bangun mengorak langkah dengan minda, keringat dan air mata, mereka memperjuangkan kemajuan bangsa. Maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru, dasar keramat yang memberi peluang dan keadilan kepada semua bangsa khususnya orang-orang Melayu.

        Sham, abah bersyukur dengan Allah s.w.t., abah masih hidup dan dapat melihat sendiri kebangkitan dan kewujudan golongan para ilmuan dan golongan professional orang-orang Melayu pada hari ini.  Sekarang ini di sekolah-sekolah, para guru siswazah dalam semua disiplin – sains dan matematik majoriti adalah orang-orang Melayu. Di universiti-universiti Kerajaan, para pensyarah dalam semua disiplin – perubatan, sains, kejuruteraan, ekonomi juga majoriti adalah orang Melayu. Dalam perkhidmatan Kerajaan golongan professional seperti doktor, jurutera, akauntan, pegawai penyelidik sains dan teknologi, majoriti adalah orang Melayu. Sham, itulah warisan pejuang-pejuang bangsa seperti Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamed yang berjaya dengan izin Allah s.w.t. mengwujudkan golongan cerdik pandai dan ilmuan orang-orang Melayu dalam satu generasi dan abah sendiri hidup menyaksikan phenomena yang hebat ini. Mungkin bagi generasi hari ini, generasi Sham – perkara ini perkara biasa. Dewasa ini kita mudah mengambil “take things for granted” . Sebenarnya Sham, kejayaan mengujudkan golongan ilmuan dan professional Melayu adalah suatu yang sungguh menakjubkan dan merupakan satu daripada kejayaan kerajaan  yang memerintah negara masa kini. Pada masa kini, dianggarkan lebih daripada 2 juta orang Melayu golongan kelas menengah dan professional telah wujud dalam masyarakat kita.
       
Sham, abah harap engkau sendiri renung dan lihatlah kembali jejak-jejak perjalanan pendidikan engkau daripada sekolah hingga universiti. Engkau belajar di MRSM iaitu suatu institusi yang gagasannya diperjuangkan oleh pejuang bangsa. Engkau belajar di London daripada A’ level sehingga ke peringkat kedoktoran dengan bantuan penuh Kerajaan. Pada tahun 2009 di dewan Royal Albert Hall London yang bersejarah ini abah dan emak menyaksi engkau berdiri megah menerima ijazah Phd Chemical Engineering  daripada satu intitusi ternama di United Kingdom. Berlinang air mata abah dan emak. Linangan air mata abah adalah kerana perasaan abah terharu dan gembira dengan kejayaan engkau. Abah terharu bila mengenangkan jasa-jasa pejuang bangsa yang membolehkan bangsa Melayu seperti engkau mencapaikejayaan ini. Sham, abah harap engkau tidak melupakan jasa-jasa pejuang bangsa kita. Janganlah kita menjadi bangsa yang tidak tahu menghargai jasa-jasa orang terdahulu yang memperjuangkan kemajuan bangsa hari ini. Janganlah kita mengikut cakap parti pembangkang yang menyemai nilai-nilai tidak mengenang budi apabila menekankan supaya apa-apa Kerajaan beri-terima-tidak perlu terima kasih-itu memang kewajipan Kerajaan. Kalaulah nilai-nilai negatif ini ditanam di kalangan anak-anak kita, maka anak-anak tidak akan menghormati dan menyayangi ibu bapa kerana itu memang tugas ibu bapa!!. Sham, buangkanlah nilai-nilai negatif ini dan hargailah jasa-jasa pejuang bangsa kita.

        Salam dari abah dan emak serta adik-adik di Kuala Lumpur......

 *Artikel ini dinukilkan oleh seorang pesara kerajaan khas untuk MyMassa. Selamat Membaca.

0 comments:

Catat Ulasan