Isnin, 14 Jun 2010

Kemungkinan Menarik Bukan Islam Jadi Calon Pas





KEPUTUSAN Dewan Ulama PAS membenarkan parti Islam itu diwakili oleh calon bukan Islam dalam pilihan raya sangat menarik.

Akhbar atas talian Pas, Harakah Online pada 11 Jun memetik Bernama sebagai melaporkan yang parti itu akan membenarkan calon bukan Islam bertanding atas tiketnya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bernama memetik Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, sebagai berkata calon bukan Islam akan dibenarkan mengguna simbol parti itu tetapi dengan syarat mereka hendaklah menerima dasar dan perjuangan PAS serta berakhlak dan moral tinggi.

Abdul Hadi berkata perkara itu telah diluluskan Dewan Ulama PAS Pusat bagi membolehkan orang bukan Islam yang menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bertanding pilihan raya atas tiket Pas.

Saya sengaja tidak menggunakan istilah penting kerana kita belum tahu sejauh mana Pas akan mempraktikkan keputusan itu. Kalau sekadar keputusan umum atau hanya membabitkan seorang dua calon bukan Islam, ia tidaklah boleh dianggap sebagai penting.

Namun ia tetap menarik kerana dengan keputusan itu, Pas bergerak setapak lagi ke arah melunturkan identitinya sebagai parti Islam dan parti majoriti orang Melayu.

Para pembesar Pas sering berkata orang bukan Melayu boleh memimpin Pas dan menjadi Perdana Menteri asalkan dia Islam.

Tetapi sekarang Pas mengatakan calon pilihan rayanya tidak perlu seorang Islam. Dalam erti kata yang lain, seorang penganut Kristian, Hindu atau Buddha boleh menjadi calon Pas dan mengambil bahagian dalam kepemimpinan Pas jika dia menang.

Keputusan kontroversi ini pasti mencetuskan kesan yang menarik, bukan sahaja terhadap parti-parti Barisan Nasional, malah akan menyentuh parti-parti rakan Pas dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi Abdul Hadi cepat menjelaskan yang keputusan itu bukan berniat meminggirkan parti-parti kotmponen PR. Dia memberi alasan kalau PKR dan DAP ada perwakilan bukan Islam, apalah salahnya Pas juga membuka pintu kepada bukan Islam.

Soalnya, Pas berlainan daripada PKR dan DAP. Pas adalah parti agama, iaitu agama Islam sedangkan PKR dan DAP adalah parti sekular.

Keputusan Pas itu juga akan membuatkan orang bukan Islam dalam parti-parti BN seperti MCA, MIC dan parti-parti suku kaum di Sarawak dan Sabah berfikir mengenai opsyen baru yang terbuka kepada mereka.

Ia membuka jalan dan peluang baru kepada orang bukan Islam untuk bersekedudukan dengan Pas dalam usaha mereka memperluaskan opsyen politik mereka.

Bagi orang bukan Islam yang berupa 40 peratus daripada penduduk negara ini, mempunyai suara dan perwakilan dalam Pas memberikan mereka jaminan tambahan.

Besar kemungkinan Pas mengambil langkah ini kerana mahu terus membuktikan kepada rakan-rakannya dalam PR bahawa ia bukan parti Islam radikal.

Atau mungkin juga kepemimpinan Pas menyedari atau sudah pun membuat kesimpulan bahawa retak dalam PKR sekarang mungkin membawa pecah dan dengan itu membuka peluang kepadanya menarik elemen bukan Islam dalam PKR untuk menyertai Pas.

Yang menjadi tanda tanya, adakah pembukaan pintu kepada bukan Islam ini sesuatu yang hakiki atau sekadar ajak-ajak ayam sahaja?

Bagi Pas, kalau orang bukan Islam tidak mahu menyahut pelawaannya, itu hak mereka. Tetapi dipihaknya ia telah membuat pelawaan. Tanggungjawabnya untuk membuktikan keterbukaan dan liberalismenya sudah tertunai. Orang bukan Islam tidak lagi boleh menuduh Pas parti eksklusif orang Islam.

Pelawaan kepada bukan Islam untuk beranding atas tiket Pas mungkin berguna dan berkesan jika parti itu hendak bertanding dan memang di lebih banyak kerusi yang ramai pemilih bukan Islam.

Abdul Hadi secara spesifik berkata calon bukan Islam itu akan bertanding atas tiket Pas dan menggunakan lambang Pas.

Soalnya, apakah Abdul Hadi juga bermaksud mengatakan bahawa PR tidak akan menggunakan simbol yang sama (common symbol) pada pilihan raya umum akan datang?

Langkah Pas ini mungkin mencetuskan tekanan ke atas PR kerana kalau Pas berjaya menarik ramai calon bukan Islam, ia boleh menuntut untuk bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kesimpulannya, Pas sudah bersedia menjadi lebih terbuka mengenai kepemimpinan dan identiti Islamnya dengan membuka pintu kepada kepemimpinan bukan Islam melalui pilihan raya.

Ini tentunya akan mencetuskan tindak balas ahli dan penyokong parti itu yang selama ini amat ortodoks dan tegar mengenai agam Islam.

Kalau keputusan ini menjadi realiti, mereka terpaksa berkongsi kepemimpinan dengan bukan Islam. Pada ketika itu, Islam yang dibawa oleh Pas tidak lagi eksklusif kepada orang Islam kerana orang bukan Islam juga mempunyai suara ke atas Islam melalui perwakilan mereka dalam Pas dan melalui cawangan legislatif.

Posted by A KADIR JASIN

0 comments:

Catat Ulasan