
Husam Musa sendiri dedahkan PAS tahu 'perangai' sebenar Anwar dan cuma nak ‘kudakannya'
Oleh: ROSLAN BIAN
www.agendadaily.com
Orang ramai terutama pengundi sekitar Kampung Kubang Parit dalam kawasan Wakaf Mempelam Kuala Terengganu bukan sahaja dikejutkan kandungan surat ‘damai’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Dr Mahathir Muhamad tetapi pendedahan bagaimana nawaitu PAS mahu memperkudakan Ketua Pembangkang itu.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ pada ceramahnya di situ Rabu malam, bersumpah pernah memberitahu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa beliau keluar parti Keadilan kerana Anwar lakukan perkara yang tidak boleh diterima Islam.
Ezam yang mengakui berkawan baik dengan Husam berkata, beliau bertemu pemimpin PAS itu selepas buat keputusan keluar dari PKR tidak lama dulu malah orang pertama yang dimaklumkan secara peribadi mengenai perkara itu.
“ Pada malam ini, saya nak bagi tahu, dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ saya beritahu Husam bahawa saya nak tinggalkan Anwar kerana ada beberapa perkara yang dilakukan oleh Anwar secara peribadi dan politik yang saya tak boleh terima sebagai orang Islam.
“Saya bagi tahu kalau saya terus membantu beliau (Anwar) jadi pemimpin, saya berdosa besar. Saya tak nak bagitahu yang lain kerana tak mahu aibkan orang,” ujar Ezam dalam ceramahnya sebelum mendedahkan kandungan surat ‘damai’ Anwar kepada bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Ezam, sebagai kawan dan pemimpin PAS yang dihormati, beliau bertemu Husam untuk memberitahu keputusannya keluar Keadilan.
“Nak tahu apa jawapannya?, Saya cabar dia nafikan. Anwar saya tak mahu cabar dia, kerana saya tahu, mana dia mahu. Tapi saya cabar Husam nafikan...nak tahu apa jawapannya, Husam kata “ kita pun tahu ( perangai Anwar) tapi sebab politik, kita nak pakai dia, kita nak tunggang dia,” katanya.
Ezam berkata, beliau terkejut kenyataan itu yang keluar daripada Naib Presiden PAS.
Dalam ceramahnya itu beliau kemudiannya mencabar Husam menafikan kata-katanya pasal PAS nak tungang Anwar itu sebelum habis tempoh berkempen pada pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.
Cabaran itu ekoran kenyataan terbaru pemimpin kanan PAS itu semasa kempen pilihanraya kecil ini mendakwa Ezam masuk UMNO kerana hendak cari makan.
“Saya cabar Husam datang Kuala Terengganu jawab tuduhan kata saya masuk UMNO kerana nak cari makan. Di ada dua malam atau dua hari ( dari Rabu malam) jawab cabaran saya,” tegasnya.
Menurut Ezam, sebelum ini beliau tidak mahu sentuh perkara itu tetapi beliau cukup terguris dengan tuduhan dibuat oleh Husam yang menjejaskan kredibilitinya.
“ Dia tahu sebab saya keluar Keadilan tetapi mungkin kerana terpengaruh janji Anwar nak bagi jawatan menteri atau apa, dia sanggup buat kenyataan saya masuk UMNO kerana nak cari makan.
“Kerana Husam sudah mencabar maruah saya, dengan lafaz sumpah saya tadi, saya cabar beliau, dua malam lagi supaya turun Kuala Terengganu dan buat sumpah nafikan kenyataan saya ini,” ujarnya.
Katanya, kalau perkara itu tidak selesai selepas 17 Januari, beliau akan ‘ pusing keliling’ seluruh Kelantan selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu untuk berdepan dengan Husam.
“Kalau nak perang, kita perang. Kerana apa, kerana Anwar juga kata saya jadi alat pada UMNO. Saya bukan diperalatkan tetapi dulu Anwar peralat saya untuk bebaskannya,”.
“Tetapi untuk agama dan bangsa saya, saya rela diperalatkan malah seluruh nadi, denyut jantung dan darah saya rela,” tegasnya.
Cabaran Ezam itu sekaligus membuka episod baru perang Ezam dengan pemimpin PAS itu selepas perangnya dengan Anwar sejak beliau keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sertai UMNO.
Menurut Ezam lagi, selepas membaca kandungan surat Anwar kepada Dr Mahathir, beliau mencabar PAS menyatakan prinsip dengan membuat keputusan segera meninggalkan Anwar kerana daripada surat itu, jelas Anwar pemimpin paling hipokrit pernah dilahirkan dalam negara.
“Dan kalau PAS tak berani buat keputusan prinsip itu, rakyat dan pengundi Kuala Terengganu harus buat keputusan pada Sabtu ini buat keputusan tolak pemimpin hipokrit itu serta parti yang bersekongkol dengannya termasuk PAS,” katanya.
Mengenai surat Anwar yang diserah padanya pada 8 September,1998 itu untuk disampaikan kepada Dr Mahathir sebenar adalah untuk mendedahkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu bersikap hipokrit dan munafik yang berbahaya kepada negara.

Menurut Ezam, surat berkenaan adalah untuk menunjukkan betapa hipokritnya sikap Anwar yang pada ketika yang sama mengutuk Dr Mahathir kerana dipecat tetapi tanpa pengetahuan para penyokongnya menulis surat nak berdamai dengan Dr Mahathir.
“Ini surat dibuat selepas dia dipecat dan kritik hebat Dr Mahathir. Daripada surat ini, seluruh rakyat boleh menilai jenis pemimpin apa Anwar Ibrahim ini,” katanya.
Menurut Ezam bekas bosnya itu adalah jenis yang boleh bercakap dengan Lim Kit Siang lain dan kemudiannya cakap lain dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang.
Katanya, surat itu sudah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri selepas terlewat sampai untuk menyerahkan surat berkenaan.
Ezam menegaskan, selepas 17 Januari ini beliau akan ke seluruh negara melakukan perhitungan dengan Anwar bersama kawan-kawannya dengan surat ini dan beberapa kotak-kotak tersebut yang belum selesai.
Menjawab soalan wartawan selepas ceramah itu, Ezam berkata, beliau menyimpan salinan surat berkenaan setelah mula timbul rasa curiga dengan tindak tanduk Anwar.
Beliau turut menjawab kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar kononnya Anwar akan membongkar surat Ezam kepada Perdana Menteri yang meminta jawatan politik sebelum masuk UMNO.
Ezam menafikan ada membuat surat memohon jawatan atau secara lisan berbuat demikian.
Ezam turut mencabar Anwar meletakkan jawatan daripada politik jika selepas tujuh hari beliau gagal meunjukkan surat berkenaan.
“Saya juga cabar dalam tempoh kempen pilihan raya Kuala Terengganu, Anwar tunjukkan surat itu. Kalau ada, saya akan berhenti politik. Tetapi selepas 7 hari jika dia tak buat juga, saya cabar dia lepaskan jawatan daripada politik,” katanya.
“Kalau dia ada maruah , dia mesti letak jawatan. Kalau dia tak buat, jatuhlah maruah dia kerana berbohong,” tegas Ezam yang percaya Anwar tidak pernah menjawab isu yang dibangkitkan termasuk ketika berkempen di Permatang Pauh.
--------------------------------------------------------------------------------
Surat Anwar bertulis tangan kepada Dr Mahathir.
YAB Datuk Seri Dr Mahathir.
Assalamualikum Warahmatullah.
Perkembangan beberapa hari ini kebelakangan ini sungguh merimaskan. Berita-berita yang mengaibkan peribadi saya secara berterusan oleh media tempatan nampaknya tidak berkesudahan.
Saya dan Azizah harus tabah. Anak-anak saya mulanya agak sugul dan gundah. Hati mereka luka dan pelajaran mungkin terjejas. Alhamdulillah, mereka kian teguh berkat sokongan keluarga besar kami, rakan-rakan rapat-khususnya Azizah yang sentiasa disamping mereka.
Saya masih kebingungan, bertanyakan punca konspirasi untuk mengaib dan menjatuhkan saya. Harapan saya, ialah agar keadaan sedikit reda bagi membolehkan saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat.
Seperkara lainnya, ialah perihal keselamatan keluarga saya. Ibu bapa saya mengulangi pertimbangan Datuk Seri agar anak angkat mereka ( menurut Ezam, anak angkat dimaksukan adalah Sukma) tidak harus ditahan. Memadailah, penderaan yang kami alami sebagai keluarga dengan menghadapi tuduhan yang amat berat.
Betapa getir dan cemas kedudukan kami, saya dan Azizah tidak pernah melupakan curahan kasih sayang, bimbingan dan peluang yang Datuk Seri berikan.
Meskipun perhubungan diantara kita agak renggang, saya tidak mungkin melupakan jasa baik Datuk Seri.
Semoga Allah S.W.T memberikan taufik dan hidayah, memelihara kesejateraan kita bersama.
Salam saya dan Aizah kepada Datuk Seri dan kak Hasmah.
Anwar Ibrahim.
8 September 1998
-14/1/2009
--------------------------------------------------------------------------------
'Surat damai' : Anwar perlekeh Ezam...tapi tak mau jawab
" Ezam who ?" begitulah reaksi awal Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila diminta mengulas kenyataan Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor yang akan mendedahkan "surat damai" Penasihat Parti Keadilan Rakyat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 September 1998.
Surat itu dakwa Ezam yang pernah jadi Setiausaha Politik kepada Anwar akan membuktikan bagaimana sikap hipokritnya kerana pada waktu yang sama mengutuk mantan Perdana Menteri selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Anwar dengan stailnya yang bersahaja sebaliknya memperlekehkan kenyataan Ezam nak dedahkan surat itu menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu Sabtu ini.
Kalangan yang cukup arif dengan stail Anwar mendakwa beliau selalu mengambil taktik mengelak untuk melayan cabaran Ezam kerana sedar bekas orang kanannya itu ' tahu banyak'.
Kata Anwar sejak pilihanraya umum tahun lalu, sebanyak 101 tuduhan dilemparkan oleh Ezam terhadapnya.
“Tetapi satupun saya tidak layan. Yang ini juga saya tidak mahu layan kerana jika saya berbuat begitu, ia seolah-olah saya memberikannya pengiktirafan," katanya menjawab soalan para wartawan mengenainya di bangunan Parlimen petang Isnin.
Apabila ditanya sama ada surat yang disebut oleh Ezam itu wujud atau tidak, Anwar sekali lagi memberikan jawapan yang hampir sama, dan bertanya semula kepada wartawan, ""Surat itu bertarikh 10 tahun lalu ya?"
Apabila diajukan sama ada beliau tidak mengiyakan atau menafikan tuduhan itu, Anwar pula berkata, "macam awak cakap, surat itu bertarikah 1998. Benda itu dah lama bukan," kenyataan yang membuat wartawan kebingungan.
Anwar kemudian mengatakan apa-apa sahaja yang didakwa oleh Ezam tidak akan menjejaskan peluang kepada PR memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu.
Ezam, ketika memberi ceramah di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ahad mendedahkan dia memiliki surat bertulis tangan oleh Anwar yang mengajak Dr Mahathir berdamai.
Kata Ezam bahawa Anwar telah memanggilnya dan meminta beliau sampaikan surat berkenaan kepada Dr Mahathir.
Menurut Ezam Anwar begitu marah ketika Dr Mahathir memecatnya, tapi kandungan surat itu amat berlainan dengan sikap Anwar.
Ezam turut mengumumkan akan mendedahkan semua kandungan surat itu kepada pengundi di Kuala Terengganu sebelum Sabtu ini.
Ketika diminta mengulas pendapat pemerhati politik atau media yang memberikan peluang 50-50 kepada BN dan PAS dalam pilihanraya kecil Terengganu, Anwar berkata, anggapan itu sudah dianggap cukup baik bagi pembangkang.
"Peluang 50-50 sudah boleh dianggap paling selamat memandangkan kita berdepan dengan "media yang serong" dan wang berjutaan Ringgit. Sesetengah media pula membuat laporan seolah-olah hanya satu parti yang bertanding.
Menyentuh ramalan keputusan pilihanraya kecil di Kuala Terengganu bakal ditentukan oleh undi kaum Cina, Anwar berkata, walaupun kecil, undi kaum itu dan juga India sudah pasti akan membantu.
"Kami tidak memandang rendah sesiapa. Baik Undi Melayu, Cina atau India, semuanya sama penting. Insyalah kita akan menang jika kita kerja kuat," katanya.- 12/1/2009
--------------------------------------------------------------------------------
Surat damai’ kepada Dr Mahathir: Ezam cabar Anwar dan PAS
Perang antara bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Ezam Mohd Nor dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagai hampir ke kemuncak apabila Ezam mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjawab isu ‘surat damainya’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 September 1998, seminggu selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Malah, berdasarkan ceramahnya di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ahad malam, Ezam turut mencabar PAS menyatakan pendirian parti itu selepas beliau mendedahkan kandungan surat dua muka surat bertulis tangan yang sekaligus membuktikan Anwar seorang yang munafik serta pembohong.
Katanya surat itu juga akan mendedahkan cara Anwar yang ‘siang lain...malam lain’.
Menurut Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar, beliau akan mendedahkan surat itu beberapa hari lagi sebaik sahaja kembali ke Kuala Terengganu selepas selesai urusannya di Kuala Lumpur, Selasa nanti.
“Saya akan turun lagi ke sini sebelum Sabtu ini (hari pilihanraya kecil) dan akan tunjuk bukti bahawa Anwar seorang yang hipokrit dan penipu. Disebabkan Anwar Ketua Pembangkang, saya juga cabar PAS selepas pendedahan saya nanti untuk nyatakan pendirian serta prinsip parti itu yang sebenarnya, “ kata beliau.
Tegasnya, sebagai parti yang mendokong prinsip mahukan pemimpin yang bersih, PAS perlu tarik balik keputusan mencabar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini selepas pendedahannya nanti.
“Itupun kalaulah PAS ada prinsip. Dulu orang Permatang Pauh tak percaya cakap saya pasal 16 September. Akhirnya tak ada apa pun. Kali ini sama ada Anwar jawab atau tidak (cabaran), saya akan buat (dedah) apa yang sepatutnya,” kata Ezam.
"Saya ingat lagi, malam itu dia bukan main marah, kutuk Perdana Menteri kerana pecatnya, tapi dalam surat itu amat berlainan sekali sikap Anwar yang hipokrit," katanya.
Ezam berkata, beliau akan mendedahkan semua kandungan surat itu kepada pengundi di Kuala Terengganu sebelum Sabtu ini.
Katanya, apa yang berlaku selepas diminta menyerahkan surat itu kepada Tun Dr Mahathir akan diceritakan kemudian.
Beliau juga mengingatkan Anwar supaya bukan sahaja menjawab isu surat itu tetapi turut mencabar Anwar menjawab persoalan enam kotak maklumat yang menjadi isu pada pilihan raya umum di Permatang Pauh dahulu.
Ketika pilihan raya kecil itu pada Ogos lalu, Ezam membangkitkan isu enam kotak rahsia yang disimpan oleh Anwar tetapi penasihat PKR itu hanya membisu.
Bagaimanapun, menjelang pilihan raya Kuala Terengganu, pemimpin Angkatan Muda Keadilan mencabar Ezam mendedahkan mengenai kandungan enam kotak tersebut.
“Di Permatang Pauh, Anwar tak jawab. Di sini, disuruh ‘anak-anak cicak’ serang saya dengan isu itu. Dia (Anwar) ingat saya takut. Di Kuala Terengganu, saya buka gelanggang mahu bertarung dengan Anwar,” katanya yang sudah hilang sabar kerana menaganggapmaruahnya dipijak-pijak oleh pembangkang berkaitan isu enam kotak itu.
Katanya, beliau menyimpan secara rahsia selama 10 tahun surat itu dan tidak mahu mendedahkannya kerana membabitkan maruah.
“Tetapi saya diperleceh, saya dihina kerana isu enam kotak itu sedangkan sebelum ini saya beritahu bahawa Anwar ada menyimpan kotak tersebut,” katanya yang pernah di penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membuka rahsia mengenai rasuah pemimpin negara ini semata-mata kerana setia kepada Anwar dan mahu membelanya sebelum ini.
Lebih 1,000 orang mendengar ceramah Ezam serta bekas ketua AMK Johor, Lokman Nor Adam serta bekas ketua AMK Perak Hamdan Taha.
Kini Kuala Terengganu bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut serta seorang calon bebas, tetapi perang berterusan Ezam dan Anwar.
Apapun, Ezam kali ini memilih menggunakan satu peluru bagi menumbangkan dua musuh dengan cabarannya terhadap Anwar dan PAS supaya menyatakan prinsip parti itu sebaik sahaja kandungan surat 8 September 1998 didedahkan kelak.
Pasti igauan 16 September yang menjadi mimpi buruk Anwar kerana gagal menawan Putrajaya beralih kepada igauan baru dengan surat kepada Tun Dr Mahathir juga pada bulan September.-- 12/1/2009
--------------------------------------------------------------------------------
Ezam ada rahsia besar Anwar-Dr Mahathir...
Jika selama ini bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor sering dibayangi dengan isu enam kotak dan banyak mendiamkan dirinya apabila dicabar untuk membuktikan kewujudan kotak-kotak dokumen berkenaan, Sabtu malam pada ceramahnya di Kuala Terengganu, Ezam meleraikan isu berkenaan.
Katanya, semasa berada di dalam PKR beliau ada menyebut enam kotak dokumen berkenaan kerana beliau masih ingat tarikh melihat kotak-kota berkenaan yang berada dalam simpanan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 September 1998.
“Saya ingat tarikh itu kerana pada tarikh itu, isteri saya berada dalam bilik bersalin di hospital dan saya menerima telefon daripada Anwar meminta saya datang menemuinya. Saya pergi menemui Anwar dan meninggalkan isteri saya yang hendak bersalin. Pada masa itu saya melihat kotak-kotak dokumen berkenaan.
“Namun ada yang lebih penting pada tarikh itu... saya telah diberikan ‘tugas’ oleh Anwar dan tugas itu ada kena mengena dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Saya cabar Anwar nafikan perkara ini, dan saya sedia mendedahkan apakah ‘tugas’ yang diberikan kepada saya itu,” jelasnya.
Menurut beliau, 'tugas' besar yang dimaksudkannya itu ialah bagaimana Anwar pada tarikh berkenaan telah menulis sepucuk surat kepada Dr Mahathir meminta untuk 'berdamai' setelah beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa melakukan salah laku seks.
Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. ekoran pemecatannya itu, Anwar melancarkan 'serangan' terhadap Dr Mahathir dan mula bergerak ke seluruh negara bagi mencabar keputusan Dr Mahathir memecatnya.
Jelas Ezam, tugas itu menunjukkan sikap sebenar Anwar.
"Setelah menghentam Dr Mahathir sejak dipecat tetapi pada 8 September secara sulit meminta saya untuk membawa surat beliau kepada Dr Mahathir mohon berdamai dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Surat itu ada pada tangan saya sehingga sekarang dan ia menjadi bukti Anwar adalah pemimpin yang hari cakap lain esok dia akan cakap lain...hari ini hentam Dr Mahathir esok nak berdamai pula...pemimpin jenis apa ni," tambahnya.
Kesimpulannya kata Ezam, Anwar adalah pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan dipegang kata-katanya.
Beliau yakin, dengan pendedahan itu, rakyat akan dapat menilai siapa sebenar Anwar dan sikap sebenar Ahli Parimen Permatang Pauh itu.
Ezam juga berkata, beliau perlu mendedahkan perkara berkenaan kerana mahu rakyat tahu siapa sebenarnya Anwar dan mereka tidak terus tertipu dengan helah serta mainan politik Anwar.
“Orang yang bermuka-muka macam ini perlu kita dedahkan agar tidak terus membohongi rakyat,” jelasnya. – 11/1/1009