Isnin, 27 Julai 2009

Akta Keselamatan Dalam Negeri - Malaysia Aman dan Selamat Untuk Semua



Malaysia merupakan sebuah negara yang aman dan selamat. Kita dapat menjalani kehidupan, mencari nafkah dan dapat menunaikan tanggungjawab serta tuntutan agama dengan selesa. Kita juga tidak perlu bimbang di atas keselamatan keluarga kita.
Semua ini dapat dilakukan kerana kita sentiasa berwaspada, sentiasa bekerjasama dan paling penting kita dapat menghalang tercetusnya kegiatan yang boleh mendatangkan bahaya.

Sebenarnya asas keutuhan dan kemakmuran sesebuah negara, adalah berpaksikan kepada keselamatan dan juga keharmonian hidup. Dahulu, sejarah telah menunjukkan pada tahun 1945 sehingga 1989 kezaliman dan keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan ramai yang terkorban dan kemusnahan harta benda. Masyarakat ketika itu hidup di dalam ketakutan.

Di atas tindakan bekas anggota PKM inilah, diisytiharkan Darurat pada tahun 1948. Pada tahun 1960, Ordinan Peraturan Darurat 1948 tersebut diubahsuai dan digubal di Parlimen menjadi Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (AKDN) untuk menjamin keselamatan negara kita.

Kita perlu sedar bahawa keselamatan tidak dapat diperolehi dengan mudah. Kita perlu bertanggungjawab dan berusaha untuk menjaga keluarga, masyarakat, harta benda dan tanahair kita ini daripada sebarang bentuk ancaman.

KESELAMATAN
TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab. Anda sebenarnya membantu dalam membenteras jenayah, membasmi penyalahgunaan dadah, menjaga institusi kejiranan dan lain-lain ancaman tanpa disedari.

Di negara ini jabatan dan agensi kerajaan berperanan dan bertanggungjawab sepenuh masa bagi memastikan keselamatan negara terjamin.

Angkatan Tentera Malaysia mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar disamping memastikan kepentingan-kepentingan strategik negara terus terpelihara.

Polis DiRaja Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam terpelihara. Ia dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

Agensi Antidadah Kebangsaan pula memastikan masyarakat Malaysia bebas dari dadah. Agensi ini bertanggungjawab memerangi, mencegah, membenteras, membendung dan merawat serta membimbing mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Banyak lagi jabatan dan agensi lain yang secara langsung atau tidak langsung turut terlibat memastikan keselamatan dan kesejahteraan kita semua. Walau bagaimanapun tanpa kerjasama anda, jabatan dan agensi terlibat sukar melaksanakan tanggungjawab mereka sepenuhnya bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan kita.

Ancaman terhadap
KESELAMATAN
Malaysia dan
Kita


Malaysia juga tidak terlepas daripada pelbagai ancaman yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan.

Di antara bentuk ancaman yang dihadapi negara kita termasuk tindakan subversif, keganasan, sabotaj, pengintipan dan lain-lain bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.

Sebagai contoh ancaman pengganas komunis, kumpulan pengganas/militan seperti Jemaah Islamiah (JI), kumpulan Darul Islam (DI), kumpulan ekstremis agama seperti Al-Arqam, Al-Maunah, kumpulan Militan Malaysia dan kumpulan haram seperti Hindu Rights Action Force (HINDRAF).

Sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia sentiasa berhadapan dengan kemungkinan berlakunya insiden pergaduhan kaum yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan keselamatan negara. Insiden 13 Mei 1969, peristiwa Kampung Medan (4 Mac 2001) dan insiden Kampung Rawa, Pulau Pinang (27 Mac 1998) merupakan contoh-contoh insiden pergaduhan kaum di negara ini.

Kesimpulannya, kita harus berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.

KENYATAAN
ALLAHYARHAM
TUN ABDUL RAZAK BIN HUSSEIN


Subversif adalah satu ancaman terhadap keselamatan negara dan terhadap pihak berkuasa yang sah pada undang-undang. Maka dengan itu, ianya menjadi satu tanggungjawab kerajaan untuk menangani ancaman tersebut. ”

“ Tujuan penahanan adalah untuk memelihara keselamatan negara dan bukannya untuk menghukum individu-individu atas dasar kesalahan jenayah. Seorang individu ditahan atas pertimbangan yang munasabah tentang apa yang dijangka cuba dilakukannya dan bukannya untuk dibuktikan secara melebihi keraguan yang munasabah tentang apa yang telah dilakukannya. Individu tersebut ditahan kerana dia mewakili satu unsur ancaman terhadap keselamatan sesebuah negara. ”

Akta
Keselamatan
Dalam
Negeri
(AKDN)



LATAR BELAKANG AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI

Akta yang dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) ini bertujuan mencegah sebarang tindakan atau perbuatan yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam. Akta ini digubal di bawah Perkara 149(1) Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam yang boleh ditafsirkan antara lain, seperti berikut:

1) menyebabkan kekerasan kepada individu atau harta secara terancang yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat; atau

2)membangkitkan perasaan benci kepada Yang di Pertuan Agong atau kerajaan; atau

3)membangkitkan perasaan jahat dan permusuhan antara kaum atau penduduk yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam; atau

4)untuk tidak membenarkan sesiapa mengubah sesuatu yang diwujudkan secara sah melalui undang-undang; atau

5)yang mendatangkan mudarat kepada penyelenggaraan atau penyampaian bekalan (air, elektrik dan lain-lain keperluan asas) atau perkhidmatan (pengangkutan, kesihatan dan lain-lain) kepada rakyat; atau

6)Perkara yang membawa mudarat kepada ketenteraman dan keselamatan awam di dalam kerajaan Persekutuan serta negeri di bawahnya.

AKTA KESELAMATAN
DALAM NEGERI
(AKTA PENCEGAHAN)


Akta ini adalah salah satu undang-undang pencegahan yang digubal di bawah Perkara 149, Perlembagaan Persekutuan. Ia telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia pada 1 Ogos 1960 dan diperluaskan penguatkuasaannya di Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

ANCAMAN KOMUNIS TELAH
BERAKHIR KENAPA PERLU LAGI AKDN?


Bentuk ancaman keselamatan dahulu dan kini adalah berbeza. Jika dahulu komunis merupakan ancaman utama kepada keselamatan negara kini senario ini telah berubah kepada ancaman yang mirip seperti ancaman komunis terdahulu. Di antara ancaman keselamatan tersebut ialah tindakan / aktiviti kumpulan militan atau pengganas, kumpulan pelampau kaum, kumpulan ekstremis agama dan orang perseorangan yang cuba menggugat perpaduan dan keharmonian kaum. Sehubungan dengan itu akta ini adalah amat diperlukan bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara dari segala bentuk ancaman.

Perisytiharan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagan Persekutuan memberikan beberapa kuasa penting kepada D.Y.M.M Yang di-Pertuan Agong untuk mewartakan Ordinan berbentuk pencegahan bertujuan memelihara ketenteraman awam dan mencegah jenayah seperti Ordinan 5, 1969.

Mekanisme AKDN secara teknikalnya tidak banyak berbeza dengan prosedur kuarantin dalam bidang kesihatan awam (public health).

Masyarakat perlu mengetahui bahawa objektif utama AKDN adalah pemulihan tahanan dan mencegah mereka daripada mengancam keselamatan negara.

Orang-orang yang ditahan (tahanan) di bawah AKDN akan dihantar ke Kem Kamunting, Taiping untuk menjalani program pemulihan. Program pemulihan ini dikenali sebagai ‘Program Pembangunan Insan’ yang terbahagi kepada (3) fasa iaitu:

i. Fasa I : Disiplin;
ii. Fasa II : Pembinaan Sikap; dan
iii. Fasa III: Latihan dan Program Kemahiran Sosial


ADAKAH AKDN BERCANGGAH DENGAN HAK-HAK ASASI MANUSIA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN?

Mengikut prinsip undang-undang antarabangsa, keadaan darurat (state of emergency) membolehkan sesebuah negara menghadkan hak asasi manusia rakyatnya secara berpatutan bagi mempertahankan survival dan keselamatan negara.

AKDN tidak sama sekali bercanggah dengan hak-hak asasi manusia seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. AKDN merupakan undang-undang yang digubal sebagai undang-undang pencegahan berdasarkan peruntukan kuasa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 149).

Undang-undang pencegahan yang digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan diperuntukkan kuasa yang agak luas dalam langkah-langkah pencegahan. Kuasa ini boleh bertindak bertentangan dengan hak-hak yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kebebasan diri (Perkara 5), kebebasan bergerak (Perkara 9), kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan (Perkara 10) dan hak terhadap harta (Perkara 13).

Walaupun begitu, tidak bermakna pihak berkuasa mempunyai kuasa mutlak ke atas hak asasi seseorang tahanan. Ini kerana isu-isu yang berkait rapat dengan pihak berkuasa dan sebarang pelanggaran hak asasi akan diputuskan oleh mahkamah dalam kes Habeas Corpus. Tahanan mempunyai hak Habeas Corpus yang membolehkannya membawa kes ke Mahkamah Tinggi sekiranya mendapati atau berpandangan bahawa penahanan tersebut tidak menepati prosedur, peraturan atau undang-undang.


ADAKAH PENAHANAN DI BAWAH AKDN MEMPUNYAI MOTIF POLITIK?

Tindakan di bawah AKDN ke atas mana-mana individu tidak sama sekali bermotif politik atau untuk menjaga kepentingan pihak tertentu.

Ia dilaksanakan atas dasar keperihatinan dan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ketenteraman awam dan kestabilan negara tidak terjejas.

AKDN bertujuan untuk mencegah aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara, sekali gus dapat mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Pelaksanaan penguatkuasaan AKDN adalah semata-mata bagi tujuan membendung atau menangani apa jua perbuatan atau perilaku pihak tertentu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara tanpa mengira bangsa dan agama.

Organisasi

1. Jemaah Islamiah 108
2. Daulah Islamiah 16
3. KMM 25
4. ASG 7
5. Al-Qaeda 3

Jumlah Keseluruhan 159

*Statistik AKDN SEJAK 2001

Berdasarkan kepada statistik tahanan AKDN di atas, jelas memperlihatkan bahawa tahanan-tahanan tersebut terdiri daripada Jemaah Islamiah, Daulah Islamiah, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Abu Sayap Group (ASG) dan Al-Qaeda.

Tidak terdapat tahanan-tahanan politik yang ditahan di tempat tahanan perlindungan Kamunting. Ketika ini masih terdapat seramai 12 orang yang ditahan dan majoritinya adalah Jemaah Islamiah.


MENGAPA TAHANAN PENCEGAHAN AKDN TIDAK DIBICARAKAN DI MAHKAMAH?

Tahanan pencegahan di bawah AKDN tidak dibicarakan di Mahkamah kerana tangkapan yang dibuat di bawah peruntukan Seksyen 73( 1 ) AKDN oleh pihak polis adalah bergantung kepada maklumat-maklumat keselamatan.

Maklumat ini diperolehi daripada pelbagai sumber yang tidak boleh didedahkan untuk pengetahuan pihak umum.

Tindakan penahanan bagi tujuan pencegahan ini membolehkan suatu tindakan segera diambil ke atas mana-mana individu yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

Ini setelah pihak Kerajaan berpuas hati dengan siasatan menyeluruh yang telah dijalankan, bersandarkan kepada pengumpulan maklumat-maklumat risikan yang telah diperolehi.


ADAKAH PENAHANAN DI BAWAH AKDN INI MERUPAKAN SUATU BENTUK HUKUMAN?

Tindakan penahanan di bawah AKDN tidak bersifat hukuman (punitive) tetapi adalah merupakan suatu tindakan bersifat pencegahan (preventive).

Penahanan di bawah AKDN adalah lebih ke arah untuk memulihkan orang tahanan dari fahaman yang dipercayai dan tindak tanduknya yang mendatangkan ancaman kepada negara daripada menghukumnya sebagaimana penjenayah-penjenayah yang dipenjarakan.

Dalam tempoh penahanan ini, tahanan akan menjalani program-program pemulihan yang telah dirancang dan ditetapkan oleh pihak Kerajaan.


APAKAH KEMUDAHAN YANG DITERIMA APABILA BERADA DI DALAM TAHANAN AKDN?

Sebenarnya kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada mereka yang ditahan di dalam AKDN adalah menepati keperluan yang sepatutnya.

Kerajaan menyediakan tempat tahanan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh United Nations Standard Minimum Rules.

Mereka yang ditahan akan diberi kemudahan mendapat lawatan keluarga (seminggu sekali), berjumpa peguam yang dilantik, kemudahan rawatan, kemudahan beriadah, kemudahan membaca akhbar, kemudahan televisyen, kemudahan menulis surat, kemudahan meminjam buku daripada pusat tahanan (3 buku dalam satu masa), kemudahan beribadat dan sebagainya.

Di samping itu, mereka yang ditahan boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Bantuan kewangan ini boleh dikemukakan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ditempatkan di pusat tahanan. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan keluarga yang ditahan di bawah AKDN.

Anggaran jumlah bantuan kewangan yang disalurkan di antara RM 70.00 hingga RM 700.00


ADAKAH TAHANAN
AKDN TIDAK MEMPUNYAI HAK UNTUK MEMBELA DIRI ?


Tahanan yang ditangkap dan ditahan oleh pihak polis di bawah AKDN mempunyai hak untuk diberitahu sebab-sebab dia ditangkap dengan seberapa segera dan mempunyai hak untuk mendapat khidmat nasihat peguam yang dipilihnya dan dibela oleh peguam berkenaan.

Hak ini adalah termaktub di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Selaras dengan perkara 5(2) Perlembagaan Persekutuan, tahanan juga berhak memfailkan permohonan Writ of Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi sekiranya mendapati penahanan yang dilakukan menyalahi prosedur, peraturan atau undang-undang.

Selain itu, tahanan juga dibenarkan untuk dilawati pihak keluarga (tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan).

Tahanan boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Penasihat yang dilantik oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong. Seterusnya laporan dan syor daripada Lembaga Penasihat dipersembahkan kepada D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Tahanan dibenarkan untuk diwakili oleh peguam semasa rayuan di hadapan Lembaga Penasihat.


KENAPA AKDN TIDAK BOLEH DIMANSUHKAN?

Kita amat bertuah kerana tidak lagi diduga dengan keadaan huru-hara dan kucar-kacir yang menyebabkan kita merasa takut dan hidup dalam keadaan yang tertekan. Keamanan dan keharmonian hidup bermasyarakat yang dikurniakan ini hendaklah disyukuri oleh semua.

Menjaga keamanan dan keselamatan negara ini bukanlah satu tugasan yang mudah, di mana kawalan dan ketenteraman dapat dinikmati jika perundangan dan peraturan tidak dikuatkuasakan.

Sebenarnya bukan AKDN yang perlu ditakuti, yang perlu diberi perhatian ialah kesan dari tindakan dan akibat jika negara diancam keselamatan yang menggoncang kestabilan, keamanan dan keselamatan negara.

Jika AKDN dimansuhkan ianya akan mendedahkan negara kepada ancaman-ancaman keselamatan. Mereka yang memperjuangkan hak kebebasan kini, telah menggunakan pelbagai isu berkaitan AKDN supaya dimansuhkan. Mereka membincangkan isu-isu sensitif yang kononnya dipanggil Hak Kesamarataan. Agenda politik telah menyebabkan mereka sanggup menggadaikan apa sahaja, semata-mata untuk meraih kuasa politik.

Banyak perkara sukar untuk dibenteras sekiranya akta AKDN tidak wujud. Ini disebabkan jenayah terancang, ancaman keselamatan dan anasir subversif selalunya wujud secara sistematik dan tidak mudah untuk ditangani sebagaimana kita menangani jenayah biasa.


AKDN
Menurut
Perspektif
ISLAM



APAKAH PANDANGAN ISLAM
TERHADAP AKDN?

AKDN merupakan undang-undang pencegahan. Dalam Islam, mencegah sesuatu kemudaratan daripada berlaku merupakan tanggungjawab pemerintah. Pemerintah perlu bertindak atas dasar memelihara maslahat (kepentingan) ummah. Dalam kaedah fiqh disebut tasorruful imam ala ar-ra’ieyat manutun bil maslahah. Ia bermakna setiap tindakan atau dasar yang diputuskan oleh pemerintah mesti diasaskan bagi menjaga kepentingan rakyat.

Dalam menentukan kepentingan ini, pemerintah melihat kepada kepentingan hak majoriti rakyat yang perlu diberi keutamaan berbanding hak asasi seorang atau sekelompok rakyat. Ini bermakna, undang-undang pencegahan memang menjadi tanggungjawab pemerintah dan ia selari dengan tuntutan Islam.

Yang selalu dipertikaikan adalah tahanan tanpa bicara. Kita mempunyai pelbagai undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa seseorang seperti Akta Hasutan 1948dan Kanun Keseksaan. Kerajaan pun sudah mengambil pendirian mengkaji semula AKDN supaya tahanan tanpa bicara itu dilakukan dengan lebih teliti. Ini supaya tidak ada ruang berlaku salah guna kuasa.


ADAKAH AKDN MENEPATI SIASAH SYARIAH?
(Sistem Politik Islam)


Undang-undang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah yang tidak bertentangan dengan ketetapan dan maksud umum Syariah adalah sah di sisi Islam.

Siasah Syariah menurut IBNU AQIL:

“Siasah Syariah ialah apa-apa tindakan yang membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan walau pun ia tidak ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan”.

Siasah Syariah menurut IBNU NAJM:
“Siasah syariah ialah sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah menurut pandangannya boleh menjaga kepentingan umum walau pun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya”.

Daripada takrif-takrif di atas dapat difahami bahawa di bawah prinsip Siasah Syariah ini, pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan serta larangan untuk menjaga kepentingan umum. Ia mestilah berasaskan kepada pandangan dan penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yang ditekankan oleh Ibnu Najm dalam takrifnya “Limaslahatin yaraha” (kerana sesuatu kepentingan umum mengikut pandangannya).


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PRINSIP
Sad Az Zara’ie?
“MEMBENDUNG PUNCA KEBURUKAN”


Prinsip ini diterima oleh semua imam mazhab seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Mahmud Abu Zaharah dalam Kitabnya “Usul Fiqh”:

“Ini adalah satu daripada prinsip-prinsip yang disebut di dalam kitab-kitab mazhab Maliki dan Hambali. Manakala kitab-kitab yang lain tidak menyebutnya dengan mengunakan tajuk seperti ini, namun isi kandungan yang dibincangkan dalam bab ini diterima dalam fekah Hanafi dan Syafi’ie sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam bahagian-bahagian tertentu dan persetujuan dalam bahagian-bahagian yang lain”.

Syeikh Mutawalli Hammadah mentakrifkan “Sad Az Zara’ie” sebagai:

“Menghalang sebarang wasilah atau punca yang membawa kepada perbuatan yang haram dan memberikan hukum haram kepada jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan tersebut”.

Syeikh Mustafa Az Zarqa’ menjelaskan :

“Sesungguhnya para fuqaha’ berpendapat bahawa perintah sultan (pemerintah) wajib di sisi syarak diterima dan dilaksanakan, sekalipun ia menyempitkan tafsiran bagi perkataan yang luas sifat liputannya atau menerima pendapat yang tidak kuat dalam masalah-masalah hukum

di mana para ulamak berbeza pendapat mengenainya. Selama mana perintah tersebut berasaskan kepada kepentingan umum dan keputusannya terpulang kepada ijtihad pemerintah sendiri. Ini sesuai dengan satu prinsip dalam usul fiqh yang dikenali dengan “Al Masalih Al Murssalah”.

Dalam perkara-perkara yang tidak jelas faedahnya juga, keputusan pemerintah wajib ditaati.

Imam Al Kasani menjelaskan:

“Jika sesuatu perintah yang dikeluarkan oleh Ketua Negara itu tidak diketahui orang ramai sama ada berfaedah atau tidak, maka wajib bagi mereka mematuhinya jika tidak diketahui dengan jelas, bahawa yang diperintahkan itu adalah suatu perbuatan maksiat. Ini kerana mematuhi Ketua Negara dalam perkara-perkara yang diputuskan melalui ijtihad adalah wajib”.

Pemerintah mempunyai hak untuk mengenakan larangan terhadap perkara-perkara yang harus demi menjaga maslahat dan kepentingan umum. Apabila larangan dilaksanakan, maka wajib ke atas umat mentaatinya dan haram bagi mereka mengingkarinya.

As Syeikh Khalid bin Al Anbari menyatakan:

“Wajib taat kepada pemerintah Islam apabila ia menghadkan penggunaan perkara yang harus, yang mana pada pandangannya larangan tersebut dilaksanakan demi kepentingan umum. Saiyidina Umar R.A. pernah mengeluarkan larangan terhadap para sahabat yang utama supaya tidak meninggalkan Madinah. Demikian juga Saiyidina Uthman R.A. pernah memerintahkan Abu Zar supaya keluar dari negeri Syam dan menetap di Madinah”.


ADAKAH AKDN MENJEJASKAN IMEJ ISLAM?

Bantahan yang dilancarkan oleh sesetengah pihak terhadap akta ini atas nama Islam adalah hasil dari kegagalan mereka dalam memahami perbezaan dan fungsi antara dua kuasa iaitu kuasa eksekutif (As Sultah At Tanfiziah) dan kuasa perundangan (As Sultah Al Qada’iah).

Kedua bidang ini mempunyai bidang kuasa dan pendekatan yang berbeza dalam menjalankan fungsi masing-masing disebabkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza.

Para ulamak yang membicarakan mengenai sistem politik Islam atau “As Siasah As Syariah” telah menghuraikan peranan serta bidang kuasa Ketua Negara dalam menjalankan tugasnya.

Imam Al Qarafi menyatakan:

“Pemerintah adalah orang yang diserahkan kepadanya mentadbir seluruh urusan rakyat, menjaga kepentingan umum dan membenteras segala yang merosakkan, mengekang penjenayah, membunuh penderhaka dan menguruskan penempatan rakyat dalam negara dan perkara-perkara lain yang seumpamanya”.

Daripada huraian di atas dapat disimpulkan bahawa tanggungjawab pemerintah dalam Islam begitu besar. Bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, Ketua Negara sudah tentu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan tanpa diikat oleh prosedur-prosedur ketat seperti di dalam bidang kehakiman.

Antara bidang kuasa yang menjadi tanggungjawab Ketua Negara ialah kuasa hisbah.

Imam al-Mawardi menyatakan bahawa hisbah adalah menyeru kepada makruf (kebaikan), mencegah daripada perbuatan mungkar (keburukan) dan mendamaikan antara manusia.

Mengikut para ilmuan moden, hisbah merupakan satu peraturan daripada beberapa peraturan Islam. Sebagai contohnya, dalam konteks hisbah ini satu badan pengawasan khas diwujudkan oleh pemerintah untuk menjalankan peranan bagi mengawasi dan memeriksa semua keperluan manusia seperti perdagangan, jalanraya, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk mengekalkan keadilan dan kemuliaan bersesuaian dengan tuntutan syariat dan keperluan masyarakat setempat.

Ibnu Al Qayyim menjelaskan kuasa hisbah ini melalui kitabnya “At Thuruk Al Hukmiyah”:

“Dan maksud hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah adalah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaedah perlaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Perlaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian diikuti, maka kepentingan umat akan musnah dan sistem pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berasaskan petanda-petanda dan alamat-alamat yang jelas serta bukti-bukti (karinah-karinah) yang boleh dijadikan keterangan”.


APAKAH ADA PERUNTUKAN SYARIAH ISLAM MEMBENARKAN TANGKAPAN DAN TAHANAN TANPA BICARA?

Di bawah kuasa ini, pemerintahan dalam Islam boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan umum dan keselamatan negara.

Dr. Saud bin Said Ad Duraib dalam kitabnya”At Tanzim Al Qada’Fi Al Mamlakah As Saudiyyah” menghuraikan persoalan ini:

“Seseorang ketua negara dengan kuasa eksekutif boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mengasingkan (memenjara atau memencilkan) orang yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saiyidina Umar R.A. terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan orang ramai tentang Al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan masyarakat”.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

“Akan wujud keadaan kacau bilau di kalangan umat, maka barang siapa yang ingin memecah belahkan perpaduan umat yang bersatu, hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa mengira siapakah orangnya”.

Imam Nawawi ketika menghuraikan hadis di atas mengatakan: “maknanya” ialah jika tidak dapat ditolak perbuatan tersebut melainkan dengan cara yang sedemikian (bunuh). “Sahih Muslim Bisyarh An Nawawi”.


APAKAH ADA KEHARUSAN
DI DALAM ISLAM
MEMUKUL DAN MEMENJARA?


Para imam mazhab telah membincangkan persoalan ini di dalam kitab-kitab mereka.

As Syathibi dalam kitabnya “Al I’tisom” menyebut:

“Sesungguhnya para Ulamak berbeza pendapat mengenai keharusan memukul tertuduh yang pada pandangan pemerintah tertuduh boleh disabitkan dengan jenayah. Imam Malik R.A. berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun pemenjaraan itu merupakan penyeksaan, malah sebahagian ulamak Maliki berpendapat bahawa pukul juga harus. Hukum ini pada pandangan ulamak Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang telah mengambil upah, perlu mengantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan (jika rosak atau hilang). Jika tidak dipukul dan dipenjarakan apabila ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin harta dapat dikembalikan daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan. Maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan siksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendapatkan kembali harta dicuri dengan menunjukkan harta yang disembunyikan dan membuat pengakuan”.

As Syathibi seterusnya menolak anggapan bahawa undang-undang seperti ini boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya:

“Jika dikatakan: ini membuka ruang bagi menyeksa orang orang tidak bersalah. Jawapannya ialah: tanpa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemilik. Malah tidak melaksanakan seksaan seperti itu lebih besar mudaratnya. Sebenarnya seseorang itu tidak diseksa dengan wujudnya dakwaan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan bukti yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sangkaan yang kuat di dalam hati. Jadi seksaan pada lazimnya tidak mengenai orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena, ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelangan”.

Adalah nyata daripada perbincangan para ulamak di atas, jika penahanan tanpa bicara diharuskan dalam kes harta benda, maka dalam kes-kes yang membabitkan keamanan dan keselamatan negara adalah lebih utama tindakan sedemikian diharuskan. Malah jika pemerintah berpendapat bahawa tanpa penggunaan AKDN, keamanan dan keselamatan negara akan terjejas, maka pada ketika itu penggunaannya adalah wajib. Ini ialah berasaskan satu kaedah usul fiqh yang berbunyi:

“Sesuatu yang wajib itu tidak akan jadi sempurna, melainkan dengan adanya perkara lain yang akan menyempurnakan kewajiban itu”.

Contohnya: Kewajiban bersembahyang akan menjadi sempurna setelah seorang itu mengambil wuduk terlebih dahulu, tanpa wuduk kewajiban sembahyang tidak akan jadi sempurna atau sah.

-mymassa.com-

2 comments:

safire berkata... 8 Mac 2011 10:33 PTG
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata... 8 Mac 2011 10:50 PTG

AKDN memang ada baiknye.....yang saya ingin ketengahkan ialah apabila mereka2 ini melangkah keluar dr AKDN adakah pihak2 yg berwajib membuat pemantauan keatas mereka2 ini seperti: adakah mereka mempunyai pekerjaan,adakah mereka boleh berdikari sendiri atau adakah mereka2 di beri peluang pekerjaan? Saya pernah punyai seorang kawan yg bebas ddari AKDN dah tidak diberi peluang pekerjaan oleh sesetengah syarikat hanye kerana rekod yg tersenarai pd pihak polis.kesalahan yg telah pun terhukum. oleh keran ini, dia terasa amat tertekan setelah beberape kali mencuba utk dptkn pekerjaaan tetpi gagal, dia kembali ke jln yg sy rasakan tidak dia ingini.saya ingin cadangkan supaya pihak AKDN dpt mencarikan pekerjaan bg mereka2 ini supaya lebih terjamin kehidupn mereka apabila keluar dr AKDN. pihak AKDN juga boleh lah kiranye mengeluarkan surat sokongan pd mereka2 ini untuk mendapatkan pekerjaan yg lebih terjamin.saya pasti mereka juga inginkn peluang utk memulakn hidup yg baru dan ingin masyarakat menerima mereka seperti orang lain. Harap ulasan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka2 in memperolehi peluang kedua dalam kehidupan ini.

Catat Ulasan