Rabu, 29 April 2009

HISHAMUDDIN KENA BERI PERHATIAN GENG 10 YANG SIBUK BALING BATU SOROK TANGAN DI TERENGGANU




Oleh Zakaria Bidin

Gelaran yang diberi kepada Geng 10 yang dikatakan diketuai oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh seperti 10 budak hitam, Pengkhianat 10, Jembalang 10 dan sebagainya adalah sesuatu yang mereka patut renung kembali peranan mereka dalam masyarakat di tempat mereka berada hari ini.

Tugas mereka yang berada sekarang ini bukan sesuai mereka mencari jalan menentang arus dengan mengadakan ‘demonstrasi’ atau menunjuk keras kepala memberi alasan untuk tidak hadir bersidang DUN yang telah mencetuskan kontroversi di Negeri Terengganu yang sudah setahun kembali ke tangan BN.

Mereka patut berada bersama rakyat, mengutip masalah rakyat, menjaga kawasan masing-masing dengan baik membawa ke pengetahuan menteri besar yang sekarang ini tidak dapat tidak ialah ketua mereka dalam mentadbirkan negeri.

Mengetahui sejarahnya, orang yang paling terkilan di Negeri Terengganu ialah apabila Sultan Terengganu bertegas menolak Idris Jusoh atas sebab hanya Sultan yang mengetahuainya.

Oleh demikian, sebagai orang yang ditolak oleh Istana harus segera sedar bahawa tentunya ada sesuatu yang tidak kena pada pandangan Sultan hingga baginda begitu tegas tidak mahu menerima beliau. Seperkara lagi, masanya sudah sampai menteri besar bertukar tangan kerana tidak semestinya Idris mahu terus jadi menteri besar dan menafikan orang lain dilantik.

Idris juga harus sedar bahawa Sultan lebih banyak tahu dari apa yang Idris tidak tahu apa yang berlaku semasa Terengganu bermenteribesarkan negeri itu. Terlalu banyak kemungkinan yang menyebabkan dalam banyak-banyak ADUN, Datuk Ahmad Said diberi kepercayaan untuk memegang jawatan itu.

Terengganu adalah satu-satunya negeri yang Sultan benar-benar ambil tahu apa yang menteri besarnya buat dan setakat ini Ahmad Said walaupun baru setahun telah sedikit sebanyak juga sudah tahu apa yang menyukarkan beliau ketika mengambilalih jawatan itu.

Idris pun tahu betapa sukarnya beliau memulakan tugas ketika menambilalih jawatan itu dari tangan PAS dulu. Banyak perkara yang dia tahu kemudiannya dan akan mengambil masa agak lama untuk membaiki keadaan. Bukan sedikit kerjanya walaupun untuk mencari fail yang hilang, yang ‘dihilangkan’ untuk meneruskan mentadbir negeri.

Disamping itu, pegawai dan kaki tangan juga sudah pasti menjadi masalah kepada bos baru mereka kerana sudah tentu mereka juga masih merasakan bos lama lebih baik dari bos baru. Semua ini mengambil masa yang bukan sedikit.
Maka tidak hairanlah satu reshuffle besar-besaran perlu dilakukan sepertimana juga Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih jawatan perdana menteri dari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tentunya ramai yang terkeluar dari senarai, orang baru dilantik, orang yang tidak pernah aktif dalam parti pun sebelumnya diubah sana sini membentuk saf baru.

Sebenarnya itulah yang dilakukan oleh Datuk Ahmad Said apabila beliau mengamilalih jawatan menteri besar. Memang tentulah beliau akan letak orang-orang yang beliau yakin dan mudah dibuat bicara dengan beliau untuk membantu kerja-kerja yang bukan sedikit.

Idris terlepas pandang perkara ini atau memang sengaja tidak mahu berfikir apa yang beliau pernah rasai. Fokusnya terus kepada apa yang dilakukan oleh Ahmad Said adalah dilihat sedang mengenepikan orang-orangnya daripada arus kepimpinan baru.
Sama ada dilantik semula, dilantik orang baru atau dialihkan seseorang ke tempat lain itu adalah satu kerja kemaskini yang semua ketua perlu lakukan. Ia juga berlaku dalam syarikat swasta apabila bertukar pengarah urusan atau pengurus besar bagi membaiki keadaan lebih selesa mereka mengurusnya.

Kalau itu pun Idris tidak faham lantas bertindak berpakat dengan ADUN-ADUN lain supaya melakukan sesuatu hingga memboikot persidangan dengan alasan kononnya ada SMS ugut bunuh supaya tidak hadir bersidang, nampak sangat Idris dan rakan-rakannya sedang membawa budaya ‘perusuh’ sama ada dari dalam negeri mahupun dari luar negara.

Walaupun Idris menafikan tindakan-tindakan itu termasuklah orang-orang yang gemar diliputi akhbar terutama Rosol yang begitu menonjol sekali dalam kemelut ciptaan mereka, tetapi dari tukang sapu tepi jalan, promoter supermarket, pelayan kedai kopi, kerani jabatan kerajaan dan siapa sajalah dengan mudah menuduh kerja kotor itu datangnya dari Idris.

Dalam hal ini, rupanya begitu ramai yang tahu sikap Idris yang tidak mudah mengaku salah, tidak mudah mengaku kalah kerana dalam diri beliau mempunyai satu kekuatan yang kukuh dari segi ekonominya, tidak mudah berkompromi tetapi mudah memberikan cadangan dan hasutan yang berpengaruh kepada di kelilingnya.

Lebih lagi hari ini Idris telah menduduki majlis tertinggi merasakan beliau sudah mendapat sokongan dari seluruh negara tentang apa yang mahu dilakukan hingga mungkin mahu membuktikan beliau mampu menurunkan menteri besar yang beliau tidak suka yang sekaligus menafikan kesahihan lantikan perkenan Sultan Terengganu.

Sedangkan Sultan Terengganu bersama Ahmad Said dan tentunya bersama sebahagian besar rakyat Negeri Terengganu tidak rela mahu melihat Terengganu sekali lagi dirangkul oleh parti pembangkang yang mereka tahu betapa pahitnya berada di bawah pemerintahan parti pembangkang.

Tindakan Geng 10 yang sudah bergelar Pengkhianat 10, Jembalang 10 dan 10 budak hitam itu tentunya tidak menguntungkan Negeri Terengganu yang sepatutnya sama-sama dengan negeri lain mengejar kemajuan.
Malang bagi Terengganu yang mempunyai 10 butir kelapa komeng yang membawa satu sifat menentang arus yang secara tidak langsung membuka ruang untuk pembangkang kembali berkepak untuk menakluki negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke13 nanti.

Hanya Datuk Seri Hishamuddin Tun Husseinlah yang baru dilantik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang dibantu oleh Ahmad Said dan orang-orang yang telah diamanahkan memegang jawatan-jawatan penting lain yang bersama Ahmad sangat-sangat diharapkan turut sama beri perhatian terhadap kumpulan penentang yang sedang sibuk baling batu menyorok tangan masing-masing.

0 comments:

Catat Ulasan